PRN: PN terima KJ, Annuar, Noh dengan hati terbuka - Sanusi

Gambar dari kiri: Khairy Jamaluddin, Annuar Musa, Noh
Gambar dari kiri: Khairy Jamaluddin, Annuar Musa, Noh
A
A
A

ALOR SETAR - Perikatan Nasional (PN) mengalu-alukan kesediaan tokoh-tokoh ternama yang juga bekas pemimpin UMNO untuk menyertai PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri Julai depan.

Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setiap individu berkenaan mempunyai pengaruh tersendiri khususnya di kawasan masing-masing dan diyakini dapat menyumbang kepada kemenangan PN.

Menurutnya, PN bersedia menerima kemasukan bekas pemimpin UMNO selagi relevan dengan politik semasa dan selari dengan perjuangan dibawa oleh PN.

“Tak payah berunding apa dah, datang saja dan kami akan terima dengan hati terbuka,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penghijrahan beramai-ramai bekas pemimpin UMNO antaranya bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar serta bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi

Sebelum ini, Timbalan Ketua (Strategi), Ibu Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) dari Universiti Sunway, Profesor Wong Chin Huat menyifatkan penyertaan individu berkenaan dijangka meningkatkan sokongan pengundi muda dan golongan atas pagar kepada PN menjelang PRN di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Malah penyertaan mereka turut dilihat mampu menarik sokongan sebahagian penyokong BN, terutama kumpulan anti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Najib Tun Razak.

Muhammad Sanusi turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada tokoh-tokoh besar dalam negara tersebut atas kesudian menyumbang kepada perkembangan politik PN bagi menghadapi gerombolan Pakatan Harapan (PH) dan BN yang dilihat sedang berdepan kecelaruan.

“Itu (kehadiran mereka) bukan pancing, mereka yang lompat ke darat. Apabila batu jatuh dalam air, semua-semua ini akan melompat keluar, ibarat macam itulah,” katanya.

Ditanya sama ada PN berhasrat mendekati tokoh berkenaan untuk diketengahkan sebagai calon PRN, Menteri Besar Kedah itu tidak menolak kemungkinan memandangkan sebahagian daripada pemimpin terbabit sudah pun mengumumkan pendirian secara terbuka.

“Mereka yang intai kita, kita terbuka dan terima siapa sahaja yang masih relevan dan selari dengan perjuangan kita.

“Saya berpandangan, dalam politik negara sekiranya sudah tiada jalan lain selain mengikut kita (PN), sebab semuanya berdepan jalan mati. Yang sedang hidup hanya PN, silalah datang Khairy Jamaluddin, Annuar Musa dan Noh Omar, anda amat dialu-alukan,” ujarnya.

Muhammad Sanusi juga percaya kehadiran ketiga-tiga pemimpin ini dapat mengalihkan sokongan sebahagian ahli UMNO untuk mengundi PN.

“Mereka boleh bawa pengundi UMNO kepada PN, memang itu kelebihan mereka. Contohnya, Datuk Seri Shahidan Kassim menyebabkan sebahagian besar orang Perlis ikut perjuangan beliau.

“Noh pula sudah pun umumkan mahu jadikan Tanjung Karang sebagai kubu kuat PN, Annuar pula ada kelebihan di Ketereh dan beberapa tempat lain.

"Kita akui ada kelebihan masing-masing, datanglah dengan suci hati dan ikhlas. Cabut akar umbi sekali mai, jangan mai perdu (mereka) saja,” ujarnya lagi.