Dua ahli psikologi bantu atlet di Kemboja

Shalin - Foto Agensi
Shalin - Foto Agensi
A
A
A

JAWATANKUASA Ketua Kontinjen (CDM) menyediakan dua ahli psikologi sukan bagi membantu para atlet sepanjang Sukan SEA ke-32 di Kemboja yang dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 17 Mei ini.

Timbalan CDM, Datuk Shalin Zulkifli berkata, ini kerana kebanyakan atlet yang menyertai edisi kali ini terdiri dalam kalangan muka baharu.

"60 peratus atlet merupakan muka baharu yang akan bertanding buat kali pertama dan kami membuat persiapan bersama pengurus pasukan untuk terus berhubung bersama Institut Sukan Negara (ISN) sekiranya pemain-pemain mereka memerlukan bantuan (psikologi) tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Kemboja bersama seorang lagi Timbalan CDM yang juga bekas pemain skuasy wanita kebangsaan, Sharon Wee.

Turut berlepas ke Kemboja hari ini adalah jawatankuasa Majlis Sukan Negara, skuad bola sepak wanita kebangsaan (Malayan Tigress), pasukan bola tampar dan golf negara.

Bekas ratu boling negara itu turut yakin dengan persediaan yang dilakukan para atlet sama ada dari segi mental mahu pun fizikal untuk berentap bagi acara masing-masing, sekali gus dapat menghadiahkan pingat untuk kontinjen negara.

"Selepas Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada tahun lepas, kebanyakan atlet telah membuat perancangan sendiri, jadi mereka sudah tahu persiapan apa yang perlu dibuat," katanya.

Olahragawati kebangsaan sebanyak lima kali itu turut berharap rakyat di negara ini akan terus memberikan sokongan kepada semua atlet bagi menyuntik semangat mereka dalam menggalas cabaran negara di Kemboja. - Bernama