Tertembak mati rakan sendiri ketika memburu

No Image Caption
A
A
A

JELEBU - Seorang lelaki meninggal dunia dipercayai terkena tembakan rakannya sendiri ketika mereka memburu di kawasan hutan berhampiran Muka Sauk, Kuala Klawang di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Maslan Udin berkata, suspek berusia 52 tahun telah memaklumkan kejadian itu ketika menyerah diri pada jam 10. 30 malam di Balai Polis Titi pada hari kejadian.

"Siasatan pihak polis mendapati suspek dan mangsa berusia 61 tahun telah masuk ke kawasan hutan itu untuk berburu dengan membawa senjata api buatan sendiri.

"Ketika sedang berburu suspek melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangka kijang sebelum mangsa meninggal di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, suspek telah pun ditahan dan polis turut merampas satu laras senjata api buatan sendiri serta beberapa butir peluru hidup dan kelongsong peluru.

Ujarnya, suspek kini direman sehingga 30 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960," katanya.