EU perkenal label eko untuk penerbangan mulai 2025

Penerbangan di Kesatuan Eropah akan diberi label alam sekitar mulai 2025.
Penerbangan di Kesatuan Eropah akan diberi label alam sekitar mulai 2025.
A
A
A

BRUSSELS - Penerbangan di Kesatuan Eropah akan diberi label alam sekitar mulai 2025 dalam usaha untuk menggalakkan penggunaan bahan api penerbangan yang lebih mampan secara meluas, lapor agensi berita Jerman dpa.

Label itu bertujuan menyediakan pengguna dengan maklumat tentang kesan karbon yang dijangkakan bagi setiap penumpang dan membolehkan mereka membandingkan prestasi alam sekitar pengendali yang berbeza, kata kenyataan akhbar Parlimen Eropah.

Perunding dari Parlimen Eropah dan negara anggota EU pada Selasa juga bersetuju pada malam Selasa mengenai penggunaan 2 peratus bahan api jet mampan mulai 2025, diikuti peningkatan beransur-ansur kepada 70 peratus menjelang 2050.

"Menerusi peraturan ini, penyahkarbonan penerbangan semakin nyata," kata perunding utama Parlimen EU Jose Ramon Bauza Diaz, ahli parlimen liberal dari Sepanyol.

Bahan api yang dianggap mampan termasuk bahan api sintetik, biobahan api tertentu yang dihasilkan daripada sumber termasuk alga, sisa bio atau minyak masak terpakai, bahan api jet kitar semula daripada gas buangan dan plastik serta hidrogen yang dijana daripada tenaga boleh baharu.

Bagaimanapun, perjanjian itu masih perlu diterima pakai secara rasmi oleh parlimen dan negara anggota.

Inisiatif untuk menggalakkan bekalan dan pengambilan bahan api yang lebih mampan dalam penerbangan bertujuan menyumbang kepada matlamat iklim EU.

Blok itu mahu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sekurang-kurangnya 55 peratus menjelang 2030 berbanding tahap 1990 dan menjadi neutral iklim menjelang 2050.

Penerbangan awam bertanggungjawab ke atas 13.4 peratus daripada pelepasan CO2 EU dalam sektor pengangkutan, menurut Parlimen Eropah. - Bernama-dpa