Dakwaan exco terlibat rasuah seks satu fitnah - Ab Rauf

Hantaran seorang aktivis di Facebook berkenaan seorang Exco Melaka terlibat dengan rasuah seks.
Hantaran seorang aktivis di Facebook berkenaan seorang Exco Melaka terlibat dengan rasuah seks.
A
A
A

MELAKA - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyifatkan dakwaan seorang Exco negeri itu terlibat dengan rasuah seks adalah satu fitnah.

Bagaimanapun beliau berkata, tidak mahu menafikan perkara itu sama ada ia betul atau tidak.

"Saya nak beritahu bahawa orang zaman dunia siber ini boleh buat macam-macam, saya tak nak menafikan benda itu betul atau tidak.

"Saya menganggap benda ini sebagai satu benda fitnah yang harus kita lihat dalam dunia serba moden ini, fitnah ini pelbagai bentuk," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja dan meninjau keadaan Sungai Melaka pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berkenaan dakwaan seorang aktivis di Facebook yang seorang Exco negeri itu terlibat dalam rasuah seks.

Menurut Ab Rauf, ia kemungkinan permainan musuh politik yang cemburu dengan suasana politik Melaka yang sudah stabil.

"Saya pun tengok dan saya teliti, bagi saya, saya faham daripada mana asal usul dia, jadi saya tak nak komen lebih," katanya.

Ditanya sama ada Exco berkenaan perlu membuat laporan polis, ujarnya, ia terserah kepada Exco terbabit, namun berpendapat ia tak perlu dipanjang-panjangkan.

Jelasnya, apa yang perlu diberi perhatian sekarang ialah soal membina Melaka ke arah lebih baik.

"Saya ingat benda itu tak payah nak panjang-panjangkan, benda fitnah ini tak payah nak lebih-lebih.

"Kita dah buat kerja nak majukan negeri ni, nak membina Melaka ke arah lebih baik. Jadi benda ini saya tak ambil pusinglah," katanya.