Mekanik maut kereta rempuh tiang elektrik

Kereta dipandu mangsa terbabas dan merempuh tiang elektrik di Kilometer 45 Jalan Johor Bahru-Mersing dekat sini pada Selasa.
Kereta dipandu mangsa terbabas dan merempuh tiang elektrik di Kilometer 45 Jalan Johor Bahru-Mersing dekat sini pada Selasa.
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang mekanik maut selepas kereta dipandu terbabas dan merempuh tiang elektrik di Kilometer 45 Jalan Johor Bahru-Mersing dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 7.30 pagi semasa mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah bengkel di Taman Kota Jaya di sini.

"Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa yang berusia 28 tahun memandu kereta Honda Civic dari arah Mersing ke Johor Bahru gagal mengawal kereta dipandu hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

"Kereta mangsa kemudian merempuh tiang elektrik di bahu jalan tersebut dan mengakibatkannya meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Wahid berkata, enam anggota dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Pihak bomba mengeluarkan mangsa mengunakan satu unit 'stretcher' dan seterusnya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan.