Tottenham pecat Stellini

Stellini
Stellini
A
A
A

TOTTENHAM Hotspur memecat pengendali sementara Cristian Stellini, kata kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu selepas kelab London itu diaibkan 1-6, Newcastle United di Stadium St Jame's Park yang menyaksikan pemburuan kelompok empat teratas EPL pasukan itu terjejas.

Penolong pengendali Ryan Mason, 31, akan mengambil alih tugas dikosongkan Stellini berkuat kuasa serta-merta manakala kelab itu terus mencari pengurus tetap di samping mencari pengarah bola sepak berikutan peletakan jawatan Fabio Paratici bulan ini.

Stellini sebelum ini menggantikan rakan senegaranya dari Itali, Antonio Conte bulan lalu dengan Spurs masih di tempat keempat.

Kekalahan kepada The Magpies meninggalkan Spurs enam mata di belakang Newcastle dan Manchester United setelah bermain lebih banyak perlawanan.

"Persembahan pada Ahad menentang Newcastle United tidak boleh diterima sepenuhnya. Ia amat mendukacitakan untuk disaksikan semua.

“Kita boleh melihat banyak sebab mengapa ia berlaku dan sementara saya sendiri, lembaga pengarah, pengurus dan pemain semua mesti bertanggungjawab secara kolektif, akhirnya tanggungjawab itu adalah milik saya.

"Cristian melangkah masuk pada titik sukar dalam musim Tottenham dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya atas cara profesional yang dia dan kakitangan kejurulatihannya telah mengendalikan diri mereka semasa masa yang mencabar," kata pengerusi Tottenham Hotspur, Daniel Levy dalam satu kenyataan.

Sebagai rekod, ini kali kedua Mason menjadi pengendali sementara mengambil alih apabila kelab itu berpisah dengan Jose Mourinho pada April 2021.

Stellini sebelum ini adalah ahli kakitangan pengurusan Conte dan pengendali dari Itali berusia 48 tahun itu mengambil bahagian mengetuai pasukan apabila Conte terlepas beberapa perlawanan akibat pembedahan pundi hempedu.

Dalam ketiadaan Conte, Stellini membimbing Spurs untuk menang ke atas Manchester City, West Ham United dan Chelsea.

Bagaimanapun, dia tidak dapat mencipta semula kejayaan itu selepas menggantikan Conte, dengan Spurs hanya memenangi satu perlawanan menentang Brighton & Hove Albion manakala Bournemouth merampas kemenangan 3-2 di tempat lawan awal bulan ini.

Sementara itu, bekas pengendali Bayern Munich, Julian Nagelsmann adalah pilihan pembuat taruhan untuk mengambil alih Tottenham manakala Vincent Kompany, yang telah membawa Burnley kembali ke Liga Perdana musim ini, turut dilaporkan dalam radar kelab tersebut.

Selain itu, pengendali kelab Belanda, Feyenoord Rotterdam, Arne Slot dan bekas pengurus Leicester City, Brendan Rodgers juga dikaitkan dengan tugasan di London.

Media tempatan sebelum ini melaporkan bekas pengendali Spurs, Mauricio Pochettino, yang mengetuai kelab itu ke final Liga Juara-Juara pada 2019, sedang berbincang untuk mengemudi satu lagi kelab London, Chelsea.

Spurs seterusnya akan menerima kunjungan Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Tottenham Hotspur pada Jumaat.