Harimau Muda B17 menyerlah di Qatar

Harimau Muda B17 raih pengalaman berharga dalam enam perlawanan persahabatan di Doha, Qatar sebagai persiapan ke Piala Asia B17 2023.
Harimau Muda B17 raih pengalaman berharga dalam enam perlawanan persahabatan di Doha, Qatar sebagai persiapan ke Piala Asia B17 2023.
A
A
A

SKUAD bola sepak Bawah 17 (B17) tahun negara meraih pengalaman berharga dalam enam perlawanan persahabatan di Doha, Qatar sebagai persiapan ke Piala Asia B17 2023 pertengahan tahun ini.

Pengurus Harimau Muda B-17, Christopher Raj berkata, skuad kendalian Osmera Omaro itu mempamerkan prestasi cemerlang dalam enam aksi persahabatan berdepan kelab negara itu yang menyaksikan barisan muda Malaysia melakar lima kemenangan dan satu tewas.

Jelasnya lagi, dia berbangga dengan komitmen setiap pemain Harimau Muda dalam tempoh dua minggu kem latihan intensif itu yang berlangsung pada Ramadan.

“Sebagai pengurus pasukan, saya sangat berbangga dengan prestasi, disiplin dan komitmen ditunjukkan pemain-pemain yang dipanggil serta barisan kejurulatihan sepanjang dua minggu di Doha, Qatar.

“Saya percaya pemain-pemain mendapat pengalaman yang bernilai untuk dibawa pulang ke tanah air sekali gus menambah baik aspek permainan dalam dan luar padang.

“Terima kasih kepada penyokong-penyokong Harimau Muda B17 yang terus menerus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pemain muda negara,” katanya.

Sebagai rekod, Harimau Muda B17 negara menjaringkan 21 gol dan bolos empat kali selepas mengharungi enam perlawanan tersebut.

Anak buah Osmera yang mengharungi cabaran Piala Asia B-17 Thailand 2023 pada Jun akan menyingkap kempen Kumpulan A berdepan tuan rumah, Thailand, Yaman dan Laos.

PERSAHABATAN HARIMAU MUDA B17 QATAR 2023

KEPUTUSAN

Malaysia B17 4-2 Al Arabia SC B17

Malaysia B-17 5-0 Umm Salal SC B17

Malaysia B17 4-1 Al Ghrafa SC B18

Malaysia B17 7-0 Al Markhiyah SC B17

Malaysia B17 1-0 Al Duhail SC B19

Malaysia B17 0-1 Akademi Aspire B17