Lelaki maut tercampak dari pacuan empat roda

Salah sebuah pacuan empat roda terbalik akibat pelanggaran itu. (Gambar kecil: Choon Foo)
Salah sebuah pacuan empat roda terbalik akibat pelanggaran itu. (Gambar kecil: Choon Foo)
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang lelaki maut akibat tercampak dari kenderaan pacuan empat roda yang terbabas dan berlanggar dengan sebuah lagi kenderaan jenis sama dalam kemalangan di Kilometer 63 Jalan Gua Musang - Lojing di sini pada Jumaat lalu.

Pekebun, Ruban Arumugan, 25, maut dalam kejadian yang berlaku pada jam 8.15 malam.

Manakala penumpang kenderaan, seorang lelaki yang berusia 20 tahun mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, lelaki tersebut yang sebelum itu memandu di lorong kiri dari arah Gua Musang menghala ke Lojing secara tiba-tiba hilang kawalan.

“Sebuah lagi Toyota Hilux dari arah sama di lorong kanan berlanggar dengan Isuzu yang terbabas.

“Akibat perlanggaran tersebut, Ruban tercampak keluar dari kenderaannya dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Isnin.

Menurut beliau, pemandu Toyota Hilux lelaki yang berusia 23 tahun dan penumpang lelaki berusia 27 tahun mengalami cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom Cameron Highlands.

“Mayat Ruban dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian boleh salurkan ke Bahagian Siasatandan Penguatkuasaan Trafik Gua Musang di talian 099121222 atau Pegawai Penyiasat di talian 017-2830392,” ujar beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.