Napoli' selangkah' bergelar juara Serie A

Barisan pemain Napoli meraikan kemenangan ke atas Juventus dalam aksi Serie A di Turin pada awal pagi Isnin.
Barisan pemain Napoli meraikan kemenangan ke atas Juventus dalam aksi Serie A di Turin pada awal pagi Isnin.
A
A
A

NAPOLI semakin hampir merangkul kejuaraan Serie A buat kali pertama dalam tempoh 33 tahun selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Juventus di Turin pada awal pagi Isnin.

Jaringan tunggal Giacomo Raspadori pada masa kecederaan sudah cukup membolehkan Napoli meraih kemenangan bermakna di laman lawan, sekali gus meletakkan mereka 17 mata di puncak liga.

Berbaki tujuh perlawanan, Napoli kini merekodkan 78 mata bagi meninggalkan pencabar terdekat, Lazio yang mengumpul 61 mata dan Juventus dengan 59 mata.

Kemenangan itu juga secara tidak langsung mengubati kekecewaan Napoli yang ditunjuk jalan keluar dalam saingan Liga Juara-Juara selepas tumbang di tangan AC Milan minggu lalu.

Jika Napoli menewaskan Salernitana Sabtu ini, mereka hanya perlu mengharapkan Inter Milan mengelak kekalahan di laman sendiri di tangan Lazio keesokannya untuk dinobatkan sebagai juara Serie A.

“Sekarang bukan masa untuk berpesta. Kami perlu menunggu sebelum boleh meraikan kejayaan kerana masih mempunyai perlawanan untuk ditempuhi.

“Bukan mudah untuk bangkit mencipta kemenangan dalam tempoh singkat selepas tersingkir dalam Liga Juara-Juara,” kata pengendali Napoli, Luciano Spalletti.