Tanjak penyeri busana jejaka

Mohd Ridzuan bersama Muhammad Alif Shah Azhar, 27, (kanan) dan Muhammad Ammar Zainal Abidin, 20, (kiri) menunjukkan tanjak-tanjak asli yang dikarang.
Mohd Ridzuan bersama Muhammad Alif Shah Azhar, 27, (kanan) dan Muhammad Ammar Zainal Abidin, 20, (kiri) menunjukkan tanjak-tanjak asli yang dikarang.
A
A
A

IPOH - Segak dan tampan buat jejaka apabila menggayakan aksesori tanjak di pagi Syawal. Trend pemakaian tanjak menjadikan destar tradisi lelaki Melayu itu mula mendapat tempat di hati masyarakat.

Pengarang tanjak, Mohd Ridzuan Ahmad Mazaki, 35, berkata, setiap tanjak yang bermaksud tanah dipijak (tanah air) dikarang bagi merakam sejarahnya tersendiri dengan menggunakan motif alam.

“Bertanjak kini menjadi pilihan masyarakat untuk berbusana terutama Hari Raya Aidilfitri ini. Tanjak yang menjadi pilihan adalah Mahkota Alam terutama bagi individu yang pertama kali mahu bertanjak.

“Mahkota Alam sedap mata memandang kerana tidak terlalu tinggi dan tidak rendah berbanding lain. Tanjak warisan yang ada antaranya Cogan Daun Kopi, Lang Menyusur Angin, Alang Iskandar, Nakhoda Trong dan Ayam Patah Kepak,” katanya ketika ditemui di Graha Warisan, Taman Timah di sini.

MAKSUD SIMPULAN

Menurutnya, hiasan kepala itu mempunyai maksud tersirat di sebalik gaya simpulan dan pemakaian mengikut tradisi.

“Pemakaiannya simbolik kepada bangsa, keturunan dan kerajaan selain menunjukkan identiti pemakai serta adat istiadat. Tanjak Dendam Tak Sudah hanya dipakai oleh sultan.

“Simpulan pada tanjak pula melambang kepada ikatan perkahwinan dan nasab keturunan yang kukuh dan dipakai di sebelah telinga kanan.

“Orang Melayu hendak tunjuk semangat bangsanya dengan pakai tanjak, ia sangat mudah menzahirkannya dengan sehelai kain. Inilah keunikan yang nenek moyang kita wariskan,” katanya.

Mohd Ridzuan menunjukkan karangan tanjak yang dihasilkan di Graha Warisan di Ipoh.
Mohd Ridzuan menunjukkan karangan tanjak yang dihasilkan di Graha Warisan di Ipoh.

Tambah Mohd Ridzuan, proses karangan dan pemakaian tanjak mempunyai pantang larang dan adab tertibnya yang tersendiri.

“Kerana ia adalah sesuatu yang dijunjung di atas kepala jadi dilarang membuat tanjak berbentuk huruf 'Ya' yang melambangkan kematian atau akhir hayat.

“Larangan kedua adalah menggunakan kain berwarna kuning zafaran atau safron selain dilarang melangkah dan memijak kain,” katanya.

Mohd Ridzuan turut kesal apabila tanjak yang dijual di pasaran hanya sekadar mengikut bentuk dengan tidak mengikut falsafahnya.

“Penjualan tanjak memang laris di pasaran menjelang perayaan Aidilfitri namun, tanjak ini dicipta bukan sekadar fesyen.

“Tanjak asli mempunyai titisan terimba bermula dari tapak, bengkung, simpul, karangan dan kembangan. Tanjak pertama dipanggil ibu tanjak seperti Takur Tukang Besi dan setiap bentuk baharu dihasilkan melalui kembangan.

“Tanjak yang dikarang tidak mengikut tertib menyebabkan nilai warisan itu sendiri tenggelam dek kerana ingin mengaut keuntungan semata-mata,” katanya.

Ditanya mengenai tempahan, bapa kepada dua anak itu berkata, permintaan kepada tanjak mula meningkat dan ia dijual bermula RM80 hingga RM250 mengikut jenis fabrik sama ada kain kapas berwarna hitam atau songket.

Katanya, pemakaian tanjak diharap terus kekal agar warisannya tidak hilang ditelan zaman.

WANITA BERGURU BUAT TANJAK

Dalam pada itu di PONTIAN, JOHOR seorang pembuat tanjak, Aziani Abd Ghani, 35, berkata, dia tidak menang tangan menyiapkan hampir 300 tanjak yang ditempah pelanggan untuk digayakan pada 1 Syawal nanti.

“Pada tahun ini, tanjak yang menjadi pilihan pelanggan ialah Naga Berlabuh dan Solok Timbo. Selain itu, ada banyak lagi tanjak yang menjadi pilihan pelanggan antaranya Mahkota Alam dan Bugis Tidak Balik,” katanya.

Ibu kepada tiga orang anak ini mengakui bukan mudah mempelajari seni pembuatan tanjak yang dipelopori golongan lelaki.

Dia sanggup berguru hampir setahun bersama pembimbing di bawah Persatuan Penggiat Seni Alam Melayu (Pernilam) dan Akademi Seni Tradisional Warisan Melayu.

Aziani menunjukkan pelbagai jenis tanjak yang dihasilkan di kedainya di Pekan Nanas, Pontian.
Aziani menunjukkan pelbagai jenis tanjak yang dihasilkan di kedainya di Pekan Nanas, Pontian.

“Sebelum ini, saya merupakan tukang jahit. Saya melihat pembuatan tanjak ini mempunyai potensi, selepas makin ramai yang buat tempahan.

“Saya terlibat dengan pembuatan tanjak secara sepenuh masa sejak empat tahun lalu. Ada juga saya belajar daripada orang perseorangan yang mahir dengan pembuatan tanjak.

“Tanjak memerlukan ketelitian untuk dihasilkan. Setiap lipatan perlu dijaga kerana ia melambangkan warisan,” katanya.