Pemuda pukul, bakar anjing dihukum tujuh sebatan ringan

Hong Seng ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa.
Hong Seng ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemuda dijatuhi hukuman tujuh kali sebatan ringan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas kesalahan memukul dan membakar seekor anjing pada bulan lalu.

Braden Yap Hong Seng, 19, selaku orang kena saman (OKS) dibebaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik selama setahun oleh seorang penjamin selepas membuat pengakuan bersalah pada 12 April lalu.

Hong Sheng turut dibenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000.

Mahkamah menetapkan 21 Mei depan untuk pelaksanaan hukuman sebatan ringan itu terhadap tertuduh secara terbuka di Mahkamah Sesyen Jenayah 4 pada jam 9 pagi.

Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut selepas mempertimbangkan beberapa faktor antaranya kesalahan pertama OKS selain pesalah muda serta menyatakan sudah insaf dan telah mengaku bersalah di peringkat awal pendakwaan.

"OKS tidak dijatuhkan hukuman penjara kerana tidak sesuai disebabkan dia masih muda dan mempunyai masa depan yang panjang.

"Bagaimanapun mahkamah memandang berat akan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu selain mengambil kira faktor kepentingan awam sebagai memberi pengajaran kepada OKS dan masyarakat.

"Setiap yang bernyawa termasuk haiwan mempunyai hak asasi untuk dilindungi dengan undang-undang dan hidup aman damai," katanya dalam penghakiman tersebut.

Pada 21 April lalu, Hong Seng mengaku bersalah Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan berkenaan tetapi peguam, P Rajakunaseelan yang mewakilnya ketika itu memohon penangguhan hukuman kerana peguam G K Sritharan yang sepatutnya mewakili anak guamnya tidak dapat hadir kerana berada di luar negara.

Mahkamah kemudiannya menetapkan pada Selasa untuk fakta dan hukuman terhadap lelaki berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan kejamnya menyebabkan kesakitan yang tidak sepatutnya ke atas seekor anjing betina berwarna coklat di hadapan sebuah premis di Jalan Impian Emas 22, Taman Impian Emas, Skudai di sini, jam 1.49 pagi, 27 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, OKS didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Johor, Mohd Zamri Shak @ Ishak, manakala OKS diwakili peguam GK Sritharan.