PM UK disiasat berhubung saham milik isteri

Rishi Sunak kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa berhubung dengan kemungkinan gagal mengisytiharkan saham yang dipegang isterinya, Akshata Murty dalam agensi yang mendapat manfaat daripada belanjawan kerajaan baru-baru ini. - Foto Reuters
Rishi Sunak kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa berhubung dengan kemungkinan gagal mengisytiharkan saham yang dipegang isterinya, Akshata Murty dalam agensi yang mendapat manfaat daripada belanjawan kerajaan baru-baru ini. - Foto Reuters
A
A
A

LONDON - Perdana Menteri United Kingdom (UK), Rishi Sunak kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa pengawasan Parlimen negara itu berhubung dengan kemungkinan gagal mengisytiharkan saham yang dipegang isterinya, Akshata Murty dalam agensi yang mendapat manfaat daripada belanjawan kerajaan baru-baru ini.

Pesuruhjaya Pematuhan Parlimen, Daniel Greenberg pada Khamis lalu memaklumkan, siasatan akan dilakukan berhubung pemilikan saham oleh Murty dalam agensi penjagaan kanak-kanak Koru Kids, kata kenyataan yang diedarkan kepada semua Ahli Parlimen.

Portal berita antarabangsa Al Jazeera melaporkan, peraturan pihak berkuasa UK menuntut setiap "Ahli Parlimen perlu sentiasa terbuka dan jujur dalam mengisytiharkan sebarang kepentingan yang berkaitan dalam mana-mana prosiding di Dewan atau jawatankuasa."

Parlimen UK juga menuntut Ahli Parlimen mendedahkan kepentingan kewangan dalam tempoh empat minggu daripada sesuatu perkara yang mereka umum atau tindakan yang diambil setiap ahli Dewan yang mungkin dipengaruhi oleh kepentingan kewangan.

Sementara itu, jurucakap Sunak berkata, Perdana Menteri tidak membuat pengisytiharan sebagai Ahli Parlimen tetapi telah merekodkan "kepentingan menteri" iaitu pengisytiharan yang setara bagi menteri kerajaan.

Bajet yang diumumkan kerajaan UK pada bulan lalu termasuk meluaskan insentif penjagaan kanak-kanak secara percuma untuk keluarga yang bekerja dengan kanak-kanak berumur dari sembilan bulan hingga 4 tahun.

Pelan itu termasuk insentif kewangan bagi orang yang bergabung dalam profesion penjagaan kanak-kanak dan menggandakan insentif jika ia dilakukan melalui agensi swasta.

Murty, isteri Sunak, mempunyai saham dalam Koru Kids yang disenaraikan dalam laman web kerajaan sebagai salah satu daripada enam agensi yang memperoleh manfaat.

Pertubuhan itu turut memuji insentif baharu dalam bajet berkenaan sebagai "hebat".

Sunak juga telah diminta untuk "bersikap terbuka " berhubung kepentingan kewangan keluarganya bulan lalu selepas ditanya oleh Ahli Parlimen mengapa dasar penjagaan kanak-kanak memberi kelebihan kepada agensi swasta.

Apabila ditanya sama ada beliau mempunyai kepentingan yang perlu diisytiharkan, Sunak tidak menyebut mengenai saham yang dimiliki isterinya.

"Tidak, semua pengisytiharan saya diisytiharkan dengan cara biasa," katanya. - Awani