Hati-hati pulang beraya, ingat orang tersayang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEDAR tak sedar, bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan pada tahun ini akan berakhir dalam masa beberapa hari sahaja lagi.

Orang ramai khususnya umat Islam di negara ini pastinya teruja mahu menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang.

Ada yang telah membuat persiapan awal kerana tak mahu kalut di kemudian hari terutama bagi yang memiliki keluarga besar tetapi mungkin ada juga segelintir yang belum memikirkan apa-apa disebabkan terlalu sibuk dengan urusan kerja dan sebagainya.

Apa pun, persediaan awal itu lebih digalakkan bagi memastikan semuanya berjalan dengan lancar dan kita dapat pulang ke kampung dengan hati yang tenang.

Servis kereta adalah perkara yang paling mustahak perlu dilakukan sekiranya bercadang untuk memandu pulang ke kampung.

Sudah tentu kita tak mahu kereta meragam atau tersadai di tepi jalan akibat kehabisan air bateri atau tayar pancit.

Jadi, pastikan kita tak lupa nak servis kereta dan ‘booking’ awal sebab pada musim perayaan biasanya pusat servis kereta sentiasa penuh.

Jika diimbas kembali laporan Sinar Harian pada 5 Mei 2022, sebanyak 113 kes kematian direkodkan akibat kemalangan jalan raya di seluruh negara dalam Op Selamat.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, sepanjang enam hari Op Selamat yang dilancarkan pada 29 April tahun lalu sempena Hari Raya Aidilfitri, sebanyak 9,816 ke-malangan dilaporkan berlaku di seluruh negara.

Menurut Razarudin, pada hari pertama operasi berkenaan, sebanyak 2,140 kemalangan direkodkan yang melibatkan 10 kematian dalam 10 kemalangan maut, manakala pada hari keenam pula sebanyak 1,455 kemalangan direkodkan melibatkan 24 kemalangan maut.

Jelas beliau, Selangor mencatat jumlah kemalangan tertinggi dengan 2,160 kes, diikuti Johor (1,372 kes), Perak (982 kes), Kuala Lumpur (875 kes), Pulau Pinang (803 kes), Kedah (659 kes), Pahang (561 kes) dan Negeri Sembilan (507 kes).

Melaka pula mencatatkan sebanyak 405 kes kemalangan, diikuti Kelantan (484 kes), Sarawak (319 kes), Sabah (311 kes), Terengganu (303 kes) dan Perlis (75 kes).

Melihat statistik data hasil Ops Selamat yang dijalankan pada tahun lalu itu, tidak dinafikan banyak nyawa yang menjadi korban akibat kemalangan jalan raya pada musim perayaan.

Lebih-lebih lagi dengan pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya pada tahun ini, berkemungkinan besar kadar kemalangan di seluruh negara juga akan meningkat.

Sementara itu, pada Sabtu, Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad menjangkakan lebih tiga juta kenderaan menggunakan lebuh raya berkenaan sempena musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

Pengurus Besar Kanan Anih Berhad, Radzimah Mohd Radzi dalam kenyataan berkata, pihaknya menjangkakan jumlah trafik ke Pantai Timur mengalami peningkatan bermula 19 hingga 21 April ini.

Menurutnya, kesesakan trafik menghala ke Kuala Lumpur pula dijangka bermula dari 24 April dan 30 April sehingga 1 Mei.

Dalam pada itu, Radzimah menjelaskan, pihaknya menambah sehingga 30 peratus bilangan kakitangan sokongannya di plaza-plaza tol sebagai usaha mengurangkan kesesakan pada musim perayaan ini.

Tambahnya, pengguna juga diminta mematuhi saranan papan tanda jalan dan had laju yang telah ditetapkan untuk mengelak daripada disaman serta arahan petugas lebuh raya demi keselamatan semua.

Bukan itu sahaja, ada beberapa lagi peringatan penting lain untuk yang balik kampung berhari raya, antaranya berhenti memandu jika rasa mengantuk. Pandulah bergilir-gilir jika melibatkan perjalanan yang jauh.

Jangan guna telefon bimbit untuk main WhatsApp, Facebook dan segala macam media sosial semasa memandu.

Satu lagi, lorong kecemasan hanya untuk kecemasan dan jangan mengekori kenderaan berat dengan terlalu dekat.

Yang paling penting, kita semua kena bersabar antara satu sama lain kerana semua pun nak balik ke kampung dengan selamat tanpa kejadian yang tidak diingini.

* Mukhriz Mat Husin ialah wartawan Sinar Harian