Tiada arahan bercuti ke atas Sivakumar

Anthony - Foto Bernama
Anthony - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Tiada sebarang arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar untuk bercuti susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kelulusan pekerja asing.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan sedang memantau perkembangan kes tersebut.

"Setakat ini tidak ada arahan daripada Perdana Menteri untuk Sivakumar mengambil cuti," katanya menerusi sidang akhbar di kementeriannya pada Isnin.

Menurutnya, Ahli Parlimen Batu Gajah itu bukan disenaraikan sebagai suspek kes berkenaan.

"Beliau beri kerjasama sebagai menteri," katanya.

Sivakumar yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP dilapor hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada Ahad bagi merekodkan kenyataan berhubung dakwaan bahawa beliau telah menerima wang secara tunai oleh seorang ahli perniagaan yang juga ditahan SPRM bersama dua pegawai kanannya.

Pada Khamis, SPRM menahan pegawai kanan Sivakumar selepas dipercayai bertindak sebagai 'runner' bagi mengutip rasuah daripada ejen-ejen tertentu untuk diberikan kuota pengambilan pekerja asing.

Sehari selepas itu, seorang lagi pegawai kanannya turut ditahan berhubung kes sama.