PBT Selangor disaran sedia tempat busking khas atlet buta

Mohd Khairuddin (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima selepas Majlis Iftar Hargai Jasa Atlet 2023 di Dewan MPKS, Saujana Utama di sini pada Ahad.
Mohd Khairuddin (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima selepas Majlis Iftar Hargai Jasa Atlet 2023 di Dewan MPKS, Saujana Utama di sini pada Ahad.
A
A
A

SEMUA 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor disaran menyediakan tapak khusus kepada bekas atlet para di negeri ini yang aktif dalam muzik jalanan.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, kebanyakan mereka itu bernaung di bawah Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB).

Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada tempat khusus kepada golongan itu untuk menyerlahkan bakat masing-masing.

"Mereka ini cenderung bermain muzik secara busking bagi menghiburkan pelanggan, namun mereka tiada tempat khusus untuk menambah pendapatan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Iftar Hargai Jasa Atlet 2023 di Dewan MPKS, Saujana Utama di sini pada Ahad.

Mohd Khairuddin berkata, setakat ini, tiga PBT sudah berbincang bagi melaksanakan dan menyediakan tempat sesuai kepada persatuan berkenaan.

Jelasnya, tiga PBT banyak membantu kerajaan negeri ke arah itu antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA); Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

"Kita berharap PBT dapat menyediakan tempat sesuai khusus untuk atlet cacat penglihatan di negeri ini dan tidak menyusahkan mereka bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti muzik jalanan.

"Antara tempat yang boleh disediakan ialah di bazar larut malam, pusat beli-belah yang mana PBT menyediakan tapak, manakala dari segi keperluan serta kos lain diuruskan kerajaan negeri," kata beliau.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata, kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM30,000 sumbangan Aidilfitri kepada 150 penerima bagi kemeriahan Syawal tahun ini.

"Sebanyak RM22,500 disumbangkan kepada 45 Jawatankuasa Penduduk (JKP) dan RM10,000 kepada Majlis Pemuafakatan Penduduk (MPP) Saujana Utama," jelas beliau.