9,400 kakitangan TNB bekerja semasa Aidilfitri

Warga kerja TNB di pelbagai peringkat yang sedia bertugas bagi memastikan jaminan kestabilan bekalan elektrik di seluruh semenanjung sempena menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Warga kerja TNB di pelbagai peringkat yang sedia bertugas bagi memastikan jaminan kestabilan bekalan elektrik di seluruh semenanjung sempena menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menugaskan hampir 9,400 warga kerja di pelbagai peringkat bagi memastikan jaminan kestabilan bekalan elektrik di seluruh semenanjung sempena menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata, penugasan giliran dan tunggu sedia itu dilakukan di stesen-stesen janakuasa, pusat kawalan dan seluruh rantaian perkhidmatan termasuk grid dan pencawang.

Ujar Abdul Razak, penugasan itu juga bertujuan utnuk memastikan kelancaran penghantaran dan pembahagian bekalan elektrik serta siap siaga memberi perkhidmatan pelanggan.

“Walaupun tugasan ini adalah rutin harian warga kerja di bahagian perkhidmatan masing-masing, namun ia adalah satu pengorbanan tatkala orang ramai ceria menyambut Aidilfitri bersama keluarga, sedangkan mereka bertugas di lapangan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir Baharin Din dalam kenyataan yang sama berkata, pemantauan di setiap negeri khususnya dalam bidang teknikal ditingkatkan menjelang Syawal dengan jangkaan umat Islam pulang lebih awal ke kampung halaman, selain mereka yang mengambil peluang melancong sempena cuti panjang hujung minggu.

Abdul Razak (tiga dari kanan) bersama Baharin (empat dari kanan) ketika Sesi Simbolik Penyerahan Bingkisan Raya TNB 2023 pada Khamis
Abdul Razak (tiga dari kanan) bersama Baharin (empat dari kanan) ketika Sesi Simbolik Penyerahan Bingkisan Raya TNB 2023 pada Khamis

Menurutnya, penugasan sebegitu ramai tenaga kerja mengambil kira tempoh kritikal 72 jam iaitu tiga hari bermula sehari sebelum 1 Syawal, berikutan penggunaan tenaga elektrik dijangka meningkat ketika orang ramai rancak membuat persiapan akhir terutama pada malam Aidilfitri.

“Bersamalah kita doakan agar mereka yang bertugas ini sentiasa sihat dalam

menyempurnakan amanah dengan selamat demi keselesaan semua. Terima kasih kerana sentiasa komited memikul tanggungjawab ini yang juga adalah satu ibadah atas kepentingan umum,” menurutnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Wanita Tenaga Nasional Berhad (Pelitawanis TNB), Datin Noor Aizah Abd Karim berkata, TNB turut mengekalkan tradisi menitipkan bingkisan kuih raya sebagai tanda menghargai sumbangan warga kerja terlibat.

Ulasnya, Pelitawanis TNB dari cawangan sekitar semenanjung berganding bahu menyiapkan hampir 9,400 pek bingkisan kuih raya minggu lalu.

Tambahnya, kerja-kerja pembungkusan Bingkisan Aidilfitri TNB 2023 itu bermula pada 3 Mac dan selesai pada 9 April 2023 serta akan dihantar ke pejabat TNB di seluruh semenanjung.

"Bingkisan Aidilfitri TNB ini adalah tanda ingatan dan penghargaan TNB kepada pekerja-pekerja yang diberi tanggungjawab untuk bertugas pada hari raya pertama demi memastikan bekalan elektrik kekal berdaya harap dan stabil untuk keselesaan rakyat bagi merayakan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan,” ulasnya.