NU Ideaktiv terbit filem pendek raya Pangsa

Filem pendek Pangsa boleh ditonton di saluran YouTube bermula 14 April.
Filem pendek Pangsa boleh ditonton di saluran YouTube bermula 14 April.
A
A
A

SHAH ALAM - Nu Ideaktiv bersama 17 jenamanya memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan terbitan filem pendek raya bertajuk Pangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Syamil Fahim Mohamed Fahim berkata, mesej utama yang dibawa filem ini adalah mengenai kepentingan silaturahim di dalam komuniti walau berbeza budaya, bangsa dan agama.

Menurutnya, topik ini begitu dekat dengan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan yakin ia bakal melekat di hati setiap penonton.

“Filem pendek ini mengisahkan bagaimana Amir yang berasal dari Sarawak, hidup di perantauan dan menyewa di sebuah unit rumah pangsa di Semenanjung Malaysia.

“Di dalam filem pendek ini, kita tonjolkan karektor Amir sebagai seorang yang introvert iaitu pendiam, pemalu dan tidak bergaul dengan jiran tetangganya. Namun, tanpa disedari, mereka amat prihatin akan keadaannya yang berjauhan daripada keluarga serta cuba untuk mengisi kekosongan itu.

“Menariknya di dalam filem ini, kita boleh lihat bagaimana kepentingan silaturahim dapat mewarnai kehidupan Amir yang dulunya sunyi dan sentiasa bersendirian.

“Saya juga ingin menekankan bahawa inilah yang menjadi tunjang kami di Nu Ideaktiv, memberi inspirasi yang membina komuniti melalui program, mahupun kandungan portal yang positif dan menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat meliputi seluruh Nusantara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Penyelidikan, Pembangunan dan Kandungan Strategik Nu Ideaktiv, Che'AZ berkata, filem itu turut menyentuh isu dalaman individu yang berpotensi untuk membawa kepada masalah kesihatan mental lain seperti kemurungan, keresahan dan kejanggalan untuk bergaul dengan masyarakat.

Filem pendek arahannya bersama Zuhdee Zaid itu digarap dengan menyelitkan nilai-nilai murni yang sarat dengan emosi yang menterjemahkan kepentingan cakna dengan keadaan sekeliling dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

“Saya berharap agar penonton dapat mengupas nilai-nilai murni yang kami terapkan di dalam filem ini", ujar beliau.

Filem pendek Pangsa boleh ditonton di YouTube (https://youtu.be/dfI4ZdgeyBI) bermula 14 April.