Malaysia 'korek rahsia' emas Olimpik Jepun

Hannah (kanan) mendengar taklimat daripada pengurusan NSSU. - Foto Facebook KBS
Hannah (kanan) mendengar taklimat daripada pengurusan NSSU. - Foto Facebook KBS
A
A
A

MALAYSIA serius untuk merealisasikan impian meraih pingat emas sulung Sukan Olimpik apabila sanggup 'terbang' ke Jepun untuk 'berguru' dengan negara Matahari Terbit itu.

Dalam misi melahirkan atlet berkelas dunia, Jawatankuasa Road To Gold (RTG) mahu melihat lebih dekat kelengkapan serta sistem sokongan atlet di negara Samurai tersebut.

Delegasi yang diketuai Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika ini berada Nippon Sport Science University (NSSU) di Tokyo dan Yokohama bagi mempelajari sistem sokongan atlet di universiti tersebut.

Perkembangan itu dimaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi catatan di Facebook pada Sabtu.

“NSSU memiliki rekod hebat menghasilkan atlet-atlet bertaraf dunia. Mereka sudah melahirkan 137 pemenang pingat untuk Kontinjen Jepun di temasya Sukan Olimpik serta Paralimpik, termasuk 41 pingat emas keseluruhan,” ujar kenyataan itu.

Dalam lawatan itu Jawatankuasa RTG telah berpeluang bertemu dengan pimpinan NSSU, berdialog serta mengadakan sidang media bersama.

“Hasil pertemuan itu NSSU bersedia menawarkan kerjasama serta sistem sokongan bukan sahaja untuk atlet tetapi buat jurulatih negara,” menurut catatan itu.

KBS memaklumkan, fokus lawatan kerja itu turut membincangkan mengenai aspek wanita dalam sukan.

“Diharapkan kerjasama dua negara itu dapat meningkatkan mutu kualiti sukan di Malaysia dalam usaha mencapai impian emas Olimpik,” katanya.

Ahli jawatankuasa lain yang menyertai lawatan itu adalah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Turut serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli dan penyelaras RTG Stuart Ramalingam.

Hannah (lima dari kanan) bersama Jawatankuasa RTG ketika mengunjungi NSSU di Jepun. - Foto Facebook KBS
Hannah (lima dari kanan) bersama Jawatankuasa RTG ketika mengunjungi NSSU di Jepun. - Foto Facebook KBS

Hannah dan Mohamad Norza merupakan pengerusi bersama RTG.

MSN dan MOM pada Februari lalu memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan NSSU bagi membuka peluang perkongsian pengetahuan serta kepakaran berkaitan bidang teknologi sains sukan dan pendidikan jasmani dengan universiti yang dikenali sebagai 'Nittaidai'.

Malaysia yang menyertai Olimpik musim panas sejak edisi Melbourne 1956 masih belum merasai kenikmatan untuk meraih pingat emas dengan pencapaian terbaik sekadar empat perak dan satu gangsa di edisi Rio 2016.