SC menang saman sivil dagangan orang dalam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah memenangi saman sivil dagangan orang dalam terhadap Pengarah Urusan Ban Seng Plastic Industries & Assembly Sdn Bhd, Toh Kai Fatt, yang diperintahkan membayar SC sejumlah RM2.71 juta.

SC berkata, Mahkamah Tinggi pada 13 April 2023, mendapati suruhanjaya itu telah berjaya membuktikan dakwaan dagangan orang dalam terhadap Kai Fatt.

Hakim Ong Chee Kwan memerintahkan Kai Fatt membayar SC sebanyak RM2.36 juta iaitu tiga kali ganda keuntungan yang diperoleh hasil daripada dagangan orang dalam.

Kai Fatt, 52 tahun juga dikehendaki membayar penalti sivil sebanyak RM250,000 dan kos berjumlah RM100,000 kepada SC

Mahkamah Tinggi mendapati Kai Fatt telah melanggar seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Saman tersebut telah difailkan pada 2021.

Di samping itu, Kai Fatt dilarang daripada dilantik sebagai pengarah syarikat tersenarai awam, dan juga dihalang daripada berdagang dalam mana-mana sekuriti di Bursa Malaysia untuk tempoh lima tahun bermula daripada penghakiman mahkamah pada 13 April 2023.

Pelanggaran itu berlaku apabila Kai Fatt memperoleh 974,000 saham HPI Resources Berhad (HPI) antara Mac dan Jun 2011, manakala memiliki maklumat bukan awam yang penting.

Maklumat tersebut adalah berkaitan dengan cadangan pengambilalihan HPI oleh Oji Paper Co Ltd.

Dagangan orang dalam merupakan kebimbangan utama, dan SC akan terus memantau serta mengambil tindakan terhadap sebarang perlakuan mencurigakan, bagi melindungi integriti pasaran modal.

Penghakiman tersebut menunjukkan dengan jelas kepada orang ramai bahawa perdagangan orang dalam merupakan kesalahan yang serius dan menggunakan maklumat dalaman untuk keuntungan peribadi tidak akan ditolak ansur. - Bernama