FBI berkas suspek 'orang dalam' bocor dokumen sulit Pentagon

Insiden penahanan Teixeira di bandar North Dighton, Massachusetts turut disiarkan secara langsung. - Foto Agensi
Insiden penahanan Teixeira di bandar North Dighton, Massachusetts turut disiarkan secara langsung. - Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) pada Khamis memberkas seorang individu yang disyaki mendalangi insiden kebocoran dokumen sulit Pentagon yang turut memperincikan peperangan di Ukraine.

Insiden penahanan suspek dikenali sebagai Jack Teixeira, 21, di bandar North Dighton, Massachusetts itu turut disiarkan secara langsung selepas siasatan secara menyeluruh dilancarkan sejak seminggu lalu.

Peguam Negara Amerika Syarikat (AS), Merrick Garland memaklumkan Teixeira merupakan kakitangan Pasukan Pengawal Negara AS dan 'admin' kepada sebuah kumpulan sembang dalam talian di mana dokumen pertama mula tersebar.

"Tiada sebarang insiden pergelutan berlaku. Suspek memberikan kerjasama kepada anggota penguatkuasa undang-undang," katanya.

Teixeira dicekup sehari selepas The Washington Post melaporkan ratusan halaman dokumen telah dimuat naik di platform Discord oleh seorang individu yang bekerja di pangkalan tentera AS.

Pembocor itu didakwa menggunakan nama samaran 'OG' dan kerap berkongsi dokumen rahsia itu dalam kumpulan sembang yang mempunyai kira-kira 24 ahli termasuk dari Rusia dan Ukraine selama beberapa bulan.

Sementara itu, jurucakap Discord menegaskan keselamatan pengguna adalah keutamaan mereka dan kandungan yang dibocorkan OG secara jelas melanggar polisi platform tersebut. - AFP