Pelukis pelan maut motosikal langgar pembahagi jalan

Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian dalam kemalangan di Kilometer (KM) 19.4 Lebuhraya NKVE pada Khamis.
Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian dalam kemalangan di Kilometer (KM) 19.4 Lebuhraya NKVE pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pelukis pelan maut setelah motosikal ditunggangnya terbabas dalam kemalangan di Kilometer (KM) 19.4 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa dipercayai menunggang motosikal jenis Yamaha 15ZR dalam perjalanan pulang ke rumah setelah bertemu rakan-rakannya.

"Mangsa yang dipercayai dalam perjalanan pulang dari Damansara ke Setapak itu gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas.

"Motosikal mangsa kemudian melanggar pembahagi jalan mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut berkaitan kejadian masih dijalankan.

"Orang ramai yang melihat kejadian diminta segera menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Petaling Jaya Inspektor Mohd Hafeez Faisal A Aziz di talian 011-32311232," katanya.