Tiga beradik pilih 'membesar' di pusat jagaan

Muhammad Faris (tengah) bersama dua adiknya, Muhammad Faqhururrullah dan Azreen Dani (kiri).
Muhammad Faris (tengah) bersama dua adiknya, Muhammad Faqhururrullah dan Azreen Dani (kiri).
A
A
A

IPOH - "Tak mahu susahkan mak, kami pilih tinggal di sini, selesa semuanya ada," kata Muhammad Faris Adhwa Ahmad, 17, seorang daripada penghuni Yayasan Amanah An-Nur Maisarah dekat Chemor.

Muhammad Faris Adhwa Ahmad, 17, mendiami yayasan berkenaan sejak berusia 8 tahun sebelum disusuli dua adiknya, Muhammad Faqhururrullah, 15, dan Azreen Dani Danish, 12.

Tiga beradik dari Langkawi, Kedah itu memilih untuk ditempatkan di yayasan berkenaan yang disediakan bagi keperluan anak-anak yatim, fakir, miskin dan terlantar.

Muhammad Faris berkata, sejak ibu bapa mereka berpisah, dia menggalas tugas menjaga dua adiknya di pusat jagaan itu.

"Selepas saya dihantar tinggal di sini, adik-adik saya pun nak ikut sama. Faqhururrullah membesar di sini sejak usianya enam tahun dan yang bongsu pula ketika lapan tahun.

"Alhamdulillah, walaupun jauh dari mak ayah, kami seronok tinggal di sini. Ada kawan-kawan yang baik, makan, pakaian dan keperluan sekolah juga mencukupi," katanya.

Zita ketika bercakapnkepada pemberita pada Khamis.
Zita ketika bercakapnkepada pemberita pada Khamis.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Chemor itu berkata, pengalaman paling tidak dapat dilupakan ketika menjaga adik-adiknya yang dijangkiti Covid-19 di pusat jagaan tersebut.

Katanya, ketika itu keadaan adiknya sedikit lemah membuatkan nalurinya sebagai seorang abang bimbang dan tidak dapat tidur lena.

"Sepanjang di sini, mereka pandai jaga diri, tidak susah pun jaga mereka. Nakal sikit-sikit tu biasalah," katanya.

Muhammad Faris berkata, ibunya yang bekerja dengan sewa kereta tidak pernah melupakan tanggungjawab melawat mereka di pusat jagaan itu.

Katanya, setiap kali Aidilfitri pula, pihak yayasan akan menguruskan kepulangan mereka hingga ke Jeti Kuala Perlis sebelum menaiki sendiri feri ke Langkawi.

"Memang setiap kali raya atau cuti panjang, kami akan balik ke Langkawi," katanya.

Tiga beradik itu antara 80 penghuni Yayasan Amanah An-Nur Maisara yang diraikan Universiti Antarabangsa Quest (QIU) sempena Iftar Ramadan di AEON Mall Klebang pada Khamis.

Seramai 80 penghuni Yayasan Amanah An-Nur Maisara yang diraikan Universiti Antarabangsa Quest (QIU) sempena Iftar Ramadan di AEON Mall Klebang pada Khamis.
Seramai 80 penghuni Yayasan Amanah An-Nur Maisara yang diraikan Universiti Antarabangsa Quest (QIU) sempena Iftar Ramadan di AEON Mall Klebang pada Khamis.

Naib Cancelor QIU, Professor Zita Mohd Fahmi berkata, program itu merupakan antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) universiti berkenaan kepada komuniti setempat.

Ujar beliau, selain sumbangan duit raya, QIU turut menaja beberapa peralatan sukan bagi kegunaan penghuni yayasan.

"Kita juga berharap menerusi program ini dapat mendidik rasa tanggungjawab dalam kalangan kakitangan universiti berkongsi rezeki bersama insan yang memerlukan," katanya.