Datuk Bandar sepatutnya dipilih, bukan dilantik - Muda

Kenyataan media Ahli Jawatankuasa Eksekutif Negeri Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Wilayah Persekutuan.
Kenyataan media Ahli Jawatankuasa Eksekutif Negeri Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Wilayah Persekutuan.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menegaskan agar pemilihan Datuk Bandar di Kuala Lumpur dan Putrajaya dilaksanakan melalui pilihan raya kerajaan tempatan bukannya berdasarkan lantikan.

Ahli-Ahli Jawatankuasa Eksekutif Negeri Muda Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata, peruntukan yang memberikan kuasa lantikan kepada Datuk Bandar itu perlu digubal.

“Datuk Bandar saling berganti tetapi hasil tetap sama. Realitinya, pihak berkuasa tempatan (PBT) dilihat tidak ada pengukur kepada kebertanggunjawaban mereka terhadap komuniti dan juga dilihat terpisah daripada komuniti.

“Selain itu, kegagalan PBT dalam menyelesaikan masalah penduduk juga sering menjadi perbualan dan ketidakpuashatian penduduk,” katanya dalam satu hantaran pada Jumaat.

Jelasnya, masalah dan kerisauan yang dihadapi penduduk Kuala Lumpur ketika ini hanya disuarakan oleh ahli Parlimen mereka meskipun ia bukannya kerja hakiki.

Tambah Muda, bagi menangani masalah penduduk dan mengendalikan penghasilan yang besar, adalah tidak munasabah jika pilihan raya atau proses demokrasi tidak diadakan.

Jelasnya, kesan daripada sistem pelantikan adalah berkemungkinan berlakunya korupsi.

“Adalah lebih telus jika penduduk atau pengundi ini tahu ke mana perbelanjaan PBT dan lebih baik jika penduduk dan pengundi boleh memantau serta membuatkan wakil yang dipilih bertanggungjawab.

“Ini juga bukan sahaja melibatkan rakyat dalam proses demokrasi kerajaan tempatan, tetapi ia juga meningkatkan keupayaan pentadbiran DBKL dan Perbadanan Putrajaya,” ujarnya.