'Saya tidak kecil hati tak dijemput' - Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekali lagi tidak dijemput untuk menghadiri majlis anjuran kerajaan Persekutuan sebagai ketua kerajaan negeri.

Beliau berkata, ia hanyalah perkara kecil dan sedikit pun tidak berkecil hati susulan tiada jemputan dihantar ke Pejabat Menteri Besar Kedah.

Menurutnya, jemputan sewajarnya dilakukan sekiranya melibatkan urusan rasmi atau program berkaitan pentadbiran.

“Tak kecil hati pun, pada masa sama saya perlu hadir program lain yang dirancang lebih awal,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan insentif kemenangan Para Sukan Malaysia (SUKMA) kepada atlet Kedah di Kompleks Belia dan Sukan Kedah di sini pada petang Khamis.

Terbaharu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu tidak menerima jemputan untuk Majlis Berbuka Puasa anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Sekolah Latihan Asas Kepolisan (SLAK), Sungai Petani pada Jumaat.

Program berkenaan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi termasuk Exco kerajaan negeri turut tidak dijemput untuk menghadiri program anjuran Kementerian Penerangan di Kedah.

Pada Mac lepas, Muhammad Sanusi memaklumkan terdapat arahan bertulis daripada Kabinet yang melarang kehadiran beliau dalam sebarang majlis anjuran kerajaan Persekutuan, termasuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) pada 23 hingga 27 Mei depan.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu memberitahu, beliau tidak dimaklumkan mengenai kehadiran Anwar ke Kedah untuk menjayakan program iftar tersebut.

“Saya pun tak tahu beliau (Anwar) akan ada di Kedah. Mereka (KDN) tak jemput (saya) tak mengapalah, saya tak hadir lah.

“Lagipun hanya majlis berbuka puasa, bukan acara rasmi kerajaan. Walaupun berbuka puasa itu wajib tetapi jemputan untuk kerajaan negeri dianggap sunat sahaja, tak panggil (jemput) pun tak apa,” ujarnya lagi.

Anwar dijadualkan mengadakan lawatan kerja ke Pulau Pinang dan Kedah pada Jumaat, yang mana enam program diadakan di Pulau Pinang sementara satu program iftar di Kedah.