Suspek bunuh lelaki kurang siuman ditahan

Laporan Sinar Harian pada 2 Mac lalu.
Laporan Sinar Harian pada 2 Mac lalu.
A
A
A

PORT DICKSON - Polis percaya telah berjaya menyelesaikan kes bunuh membabitkan seorang lelaki kurang siuman di Pekan Lukut di sini, susulan penahanan suspek pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek lelaki berusia 38 tahun itu telah ditahan di Pengkalan Chepa, Kelantan.

"Hasil maklumat risikan pihak polis, suspek telah berjaya ditahan jam lebih kurang 1.15 tengah hari dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson dengan khidmat dari Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia.

"Suspek telah pun direman tujuh hari bermula hari ini (Khamis) sehingga 19 April depan untuk siasatan lanjut dan dengan tertangkapnya suspek utama ini, polis percaya telah berjaya selesaikan kes itu," katanya dalam kenyataan kepada media pada Khamis.

Menurutnya, kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk arahan selanjutnya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan dalam kejadian 1 Mac lalu, mangsa telah ditikam dengan menggunakan objek tajam di hadapan Medan Selera Cina Pekan Lukut Port Dickson.

Hasil bedah siasat yang telah dilakukan mengesahkan kematian mangsa disebabkan oleh luka tikaman di leher dan kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.