Pengajar kelas renang berdepan 32 pertuduhan rogol anak tiri

Polis sebelum ini menahan sepasang suami isteri selepas disyaki terlibat dalam kejadian rogol melibatkan anak perempuan mereka berusia 16 tahun sejak tiga tahun lalu.
Polis sebelum ini menahan sepasang suami isteri selepas disyaki terlibat dalam kejadian rogol melibatkan anak perempuan mereka berusia 16 tahun sejak tiga tahun lalu.
A
A
A

MELAKA - Seorang pengajar kelas renang yang masih direman kerana didakwa merogol anak tirinya bakal dituduh di Mahkamah Seksyen Ayer Keroh di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek berusia 36 tahun berdepan 32 pertuduhan termasuk merogol, melakukan amang seksual dan seks menggunakan objek terhadap mangsa berusia 16 tahun sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, suspek berdepan 12 pertuduhan rogol di bawah Seksyen 376(2) dan Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan

"Setakat ini siasatan kes berkenaan selesai dan telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) semalam bagi melengkapkan pendakwaan.

"Dia juga akan didakwa bagi 12 tuduhan melakukan amang seksual mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Tambah beliau, suspek turut dituduh atas lapan pertuduhan melakukan hubungan seks menggunakan objek di bawah Seksyen 377 CA Kanun Keseksaan.

Ujar beliau, Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan manakala Seksyen 376 (2) pula penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun berserta sebatan.

"Manakala Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 pula boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebatan.

"Bagi setiap kesalahan melakukan seks menggunakan objek mengikut Seksyen 377CA Kanun Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan," katanya lagi.

Jelas beliau, isteri suspek turut direman sejak 9 April dan dijadikan saksi pendakwaan dalam kes terbabit.

Ujar beliau lagi, siasatan yang dilakukan pihaknya mendapati mangsa mendakwa dirogol oleh bapa tirinya sejak awal Januari 2020.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa sedang tidur.

"Ketika kejadian, isteri suspek sedang tidur di sebuah bilik di rumah mereka," katanya.

Sinar Harian pada 9 April lalu menyiarkan sepasang suami isteri direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan.

Penahanan dibuat selepas mangsa yang sebelum ini dilaporkan hilang membuat laporan menjadi mangsa rogol bapa tirinya itu.

Ibu mangsa yang merupakan isteri suspek turut ditahan kerana dipercayai mengetahui perbuatan kejam suaminya.