Operasi stesen rel terpilih dilanjut hingga 1.30 pagi Sabtu ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa stesen rel terpilih di kawasan Lembah Klang akan dilanjutkan waktu operasi sehingga jam 1.30 pagi pada Sabtu ini.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata, langkah tersebut bagi memenuhi keperluan warga kota yang ingin membuat persiapan akhir menjelang 1 Syawal.

Menurut kenyataan itu, stesen yang akan dilanjutkan perkhidmatan ialah LRT Laluan Kelana Jaya (Masjid Jamek, KLCC), LRT Laluan Ampang/ Sri Petaling (Masjid Jamek), MRT Laluan Kajang (Bukit Bintang) dan Monorel (Bukit Bintang, Raja Chulan, Medan Tuanku dan Chow Kit).

"Stesen-stesen sambungan akan turut dilanjutkan bagi membawa penumpang ke destinasi akhir.

"Stesen- stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa. Bagaimanapun penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan," menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Kenyataan itu memaklumkan, perkhidmatan bas perantara LRT 11 iaitu melibatkan enam stesen laluan LRT Ampang/Sri Petaling yang dihentikan operasi sejak 2 April lalu turut dilanjutkan sehingga jam 1.30 pagi.

Operasi tren yang dilanjutkan hingga jam 1.30 pagi pada Sabtu ini.
Operasi tren yang dilanjutkan hingga jam 1.30 pagi pada Sabtu ini.

Rapid Rail menasihati penumpang menggunakan kad Touch ‘N Go atau membeli token perjalanan pulang lebih awal untuk memudahkan perjalanan.

Pemgendali sistem rel transit Lembah Klang itu turut mengingatkan pengguna memakai pelitup muka yang masih diwajibkan ketika menggunakan pengangkutan awam.

"Warga kota disaran menggunakan pengangkutan awam pada hujung minggu ini bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di dalam pusat bandar.

"Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti Twitter dan Facebook MyRapidKL atau melayari laman web: www.myrapid.com.my," menurut kenyataan itu.

Umat Islam dijangka menyambut 1 Syawal pada 21 April atau 22 April depan bergantung kepada pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selepas proses melihat anak bulan dilaksanakan pada malam 20 April.