Laman sesawang Malaysia-SuluCase.gov.my beri fakta sebenar

Malaysia-SuluCase.gov.my dilancar bagi menangkis tomahan dan tuntutan mereka yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.
Malaysia-SuluCase.gov.my dilancar bagi menangkis tomahan dan tuntutan mereka yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Komunikasi dan Digital melancarkan laman sesawang Malaysia-SuluCase.gov.my bagi memberikan maklumat berkenaan kes tuntutan pihak yang mengaku sebagai waris Sultan Jamalul Kiram II (Sultan Sulu) terhadap Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Azalina Othman Said, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Koumunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan bersama memaklumkan laman sesawang Malaysia-SuluCase.gov.my adalah satu langkah kerajaan untuk memberikan naratif sejarah dan kronologi kes perundangan di pelbagai bidang kuasa yang betul dan sahih.

Menurutnya, terdapat kemusykilan pada fakta kes yang dikemukakan oleh pihak yang mendakwa diri mereka sebagai waris Sultan Sulu.

“Sehingga kini tiada bukti menunjukkan bahawa penuntut-penuntut ini benar-benar waris kepada Sultan Sulu.

“Ini berbeza dengan kes kerajaan Malaysia, yang mana adanya laporan Suruhanjaya Cobbold 1963 di mana Sabah telah membuat pilihan untuk bersama-sama dengan semenanjung dan Sarawak bagi membentuk Makaysia,” kata kenyataan itu pada Rabu.

Jelas kenyataan itu, laman sesawang Malaysia-SuluCase.gov.my akan dikemaskini selria dengan kes yang sedang berlangsung serta boleh diakses menerusi lima Bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Perancis, Sepanyol dan Tagalog.

“Ini bagi membolehkan pelbagai pihak termasuk media antarabangsa mengikuti dan memahami kes ini melalui fakta dan informasi sebenar yang dikemukakan kerajaan Malaysia,” kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, kerajaan berharap rakyat Malaysia akan mengakses dan mengikuti kes ini dengan teliti melalui laman sesawang yang dibangunkan ini kerana sebarang keputusan yang memihak kepada penuntut akan mempunyai kesan besar dan mengganggu gugat kedaulatan dan keselamatan negara.

“Kerajaan Malaysia akan terus memelihara kepentingan, kekebalan dan kedaulatan negara pada setiap masa dan mengambil segala tindakan yang perlu bagi menghentikan tuntutan ini,” tegas kenyataan itu.