Kerajaan adakan libat urus tambah baik bantuan guaman - Azalina

Azalina
Azalina
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengadakan sesi libat urus bagi memperincikan penambahbaikan perkhidmatan bantuan guaman berkaitan kes jenayah dan cadangan menggubal akta khusus bagi menawarkan bantuan guaman percuma kepada rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, libat urus itu antara lain adalah untuk membincangkan isu dan hala tuju perkhidmatan bantuan guaman, mendapatkan input mengenai dasar berkaitan penggubalan Akta Pembelaan Awam serta meneliti keperluan mewujudkan Pejabat Pembelaan Awam.

"Sesi libat urus ini diharapkan dapat mengumpul input dan pandangan daripada para peserta mengenai beberapa persoalan dasar berkaitan dengan kesesuaian mewujudkan akta khusus untuk perkhidmatan bantuan guaman bagi kes jenayah di Malaysia.

"Kerajaan Madani amat menitikberatkan libat urus berterusan semua pihak berkepentingan agar memastikan sebuah sistem yang efektif dalam memberi perkhidmatan bantuan guaman kepada rakyat Malaysia yang memerlukan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Bengkel Hala Tuju Perkhidmatan Bantuan Guaman Bagi Kes-Kes Jenayah di Malaysia sedang berlangsung bermula pada Selasa hingga Rabu dan diadakan dengan kerjasama Jabatan Bantuan Guaman, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan serta Majlis Peguam.

Azalina berkata, perkhidmatan bantuan guaman yang sedia ada perlu diperkasa untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan akses kepada keadilan terutamanya kepada golongan B40.

"Lantas, bantuan guaman dan khidmat nasihat dalam kes jenayah harus mudah diakses oleh mana-mana warganegara Malaysia serta kanak-kanak warganegara asing di peringkat tangkapan, reman, permohonan ikat jamin dan mitigasi oleh peguam," katanya.

Usaha menggubal sebuah akta khusus bagi menawarkan bantuan guaman percuma bagi kes jenayah telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023, Februari lepas. - Bernama