Remaja Palestin ditembak mati tentera Israel

Penduduk membersihkan kawasan di mana seorang remaja lelaki ditembak mati tentera Israel di Kem Aqabat Jaber. - Foto AP
Penduduk membersihkan kawasan di mana seorang remaja lelaki ditembak mati tentera Israel di Kem Aqabat Jaber. - Foto AP
A
A
A

KETEGANGAN antara Israel dan Palestin terus meningkat di Tebing Barat semalam apabila tentera Israel menembak mati seorang remaja lelaki Palestin, manakala dua lagi cedera dalam insiden itu.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, Mohammed Fayez Balhan, 15, terkorban selepas ditembak di kepala, dada serta perut oleh tentera rejim Zionis menggunakan peluru hidup.

Tentera Israel mendakwa pasukannya melancarkan operasi di Kem Aqabat Jaber, berhampiran Jericho, untuk menahan suspek pengganas.

Agensi berita WAFA melaporkan, pertempuran tercetus apabila tentera rejim itu menyerbu kem berkenaan dan mengepung beberapa rumah.

Pegawai keselamatan Palestin memberitahu, lima individu ditahan dalam serbuan terbabit.

Dalam pada itu, seorang wanita British-Israel meninggal dunia di hospital pada Isnin, akibat cedera parah dalam insiden tembakan yang meragut nyawa dua anak perempuannya berusia 16 dan 20 tahun di Tebing Barat pada Jumaat lalu.

Kereta dinaiki tiga beranak itu diserang di Lembah Jordan yang juga terletaknya Jericho.

Mereka adalah penduduk Efrat, iaitu penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.

Ketegangan semakin meruncing pada Isnin, apabila beberapa menteri Israel menyertai perarakan pendatang Yahudi dengan kawalan keselamatan ketat di Tebing Barat yang diduduki.

Mereka mendesak supaya kelulusan diberikan kepada sebuah pos luar pendatang Israel.

Keganasan terbaharu ke atas Palestin oleh Israel di Tebing Barat dan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis serta penentangan semakin sengit di Gaza mengundang kecaman masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Negara Islam (OIC).

Ia turut mendorong Hezbollah dan Hamas mengadakan perbincangan seterusnya mengenai kesiapsiagaan serta kerjasama barisan pejuang lain untuk melawan Israel. - Awani