Harimau Kumbang tekad kekal rekod menang

Soony Saad (tiga, kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menentang PDRM FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad. - Foto: Bernama
Soony Saad (tiga, kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menentang PDRM FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad. - Foto: Bernama
A
A
A

PENANG FC akan berusaha mengekalkan momentum kemenangan selepas menewaskan PDRM FC 4-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad.

Penolong Pengendali Penang FC, Manzoor Azwira Abd Wahid berkata, beraksi pada bulan puasa bukanlah suatu yang mudah kerana pemain memerlukan tenaga secukupnya untuk berdepan lawan.

“Nak dapatkan konsistensi bukan mudah tetapi saya dan pemain akan cuba sebaik mungkin untuk kekalkan prestasi semasa seperti dalam perlawanan ini,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Gol Penang FC dalam perlawanan itu dijaringkan hasil gol sendiri James Okwuosa minit ke-11, Hassan Ali Soony Saad (m-17, m-69) dan Rahmat Makasuf (m-93) manakala jaringan The Cops menerusi Marcus Macauley (m-3) dan Azmi Muslim (m-28).

Sementara itu, pengendali PDRM FC, Azzmi Aziz mengakui kesilapan individu punca The Cops tewas kepada tuan rumah.

“Pemain kita dibolosi pihak lawan. Apa pun, pemain kita sudah mencuba sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata, Sang Saka Biru perlu meningkatkan prestasi terutama di bahagian serangan bagi membolehkan pasukan memenangi perlawanan seterusnya.

Harimau Kumbang dijadualkan menentang Kelantan United FC di Stadium Bandaraya pada 18 April ini.

Sementara itu, Sang Saka Biru pula akan melayan kunjungan penyandang juara Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 19 April.