Lelaki terima upah RM15 setiap peti rokok seludup

Wan Jamal Abdul Salam (kanan) melihat rokok seludup yang dirampas.
Wan Jamal Abdul Salam (kanan) melihat rokok seludup yang dirampas.
A
A
A

TUMPAT - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 900,040 batang rokok seludup bernilai hampir RM1 juta dalam tiga serbuan berasingan di Pasir Puteh dan Machang pada Selasa lalu.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Kubor antara jam 10.30 malam sehingga 11.30 malam.

Menurut beliau, seorang lelaki berusia 26 tahun turut berjaya ditahan dalam serbuan pertama dalam sebuah kereta jenis Perodua Bezza di tepi jalan Kampung Gong Stopa, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Pasir Puteh.

“Suspek dipercayai bertindak sebagai ‘tansporter’ yang menerima upah RM15 bagi setiap peti (50 karton) rokok seludup.

“Pemeriksaan dalam kereta tersebut menemukan 20,520 batang rokok seludup pelbagai jenama,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Kubor, di sini, pada Isnin.

Perodua Bezza yang digunakan suspek untuk mengangkut rokok-rokok.
Perodua Bezza yang digunakan suspek untuk mengangkut rokok-rokok.

Menurut beliau, pada serbuan kedua di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gong Dato di daerah sama, pihaknya berjaya merampas 28,800 batang rokok.

Pada serbuan ketiga pula dilakukan di sebuah rumah di Taman Sri Machang di Machang dan merampas 850,720 batang rokok.

“Modus operandi penyeludup membawa masuk rokok menggunakan kenderaan dalam jumlah yang sedikit dan disimpan di tempat transit seperti rumah.

“Rokok-rokok bernilai RM360,064 itu dipercayai diseludup dari selatan tanah air dan diedar untuk pasaran tempatan. Jumlah cukai yang terlibat ialah sebanyak RM606,899.24,” katanya.

Kes-kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.