Aaron, Wooi Yik mula atur langkah

Aaron (kanan) dan Wooi Yik mahu fokus layak ke Olimpik terlebih dahulu sebelum memburu pingat buat negara. - Foto Badminton Photo
Aaron (kanan) dan Wooi Yik mahu fokus layak ke Olimpik terlebih dahulu sebelum memburu pingat buat negara. - Foto Badminton Photo
A
A
A

PEMAIN beregu utama negara, Aaron Chia meluahkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memberi peluang kepadanya serta Soh Wooi Yik untuk berada dalam projek Road To Gold (RTG).

Beregu nombor dua dunia itu bersama sembilan pemain badminton serta masing-masing dua atlet daripada sukan terjun dan basikal menjadi prospek untuk meraih emas sulung buat negara pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Aaron berkata, sebagai langkah pertama, mereka perlu melayakkan diri terlebih dahulu ke temasya terbesar dunia tersebut dan seterusnya berjuang untuk memenangi pingat.

“Pertama sekali saya berterima kasih kepada KBS, MSN (Majlis Sukan Negara), BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan semua yang sentiasa membantu kami,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Aaron bertekad untuk memberikan yang terbaik bagi mengumpul mata dalam setiap kejohanan yang disertai bermula bulan depan bagi meraih tiket ke Paris.

“Saya dan Wooi Yik akan bermula dengan langkah demi langkah. Buat yang terbaik untuk pastikan layak dulu ke Olimpik.

“Setelah layak (Olimpik) kami akan berjuang untuk meraih pingat terbaik,” katanya.

Pada Jumaat, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan senarai 15 atlet yang menjadi prospek untuk meraih pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik.

Daripada senarai tersebut, 11 daripadanya membabitkan wakil daripada sukan badminton iaitu Aaron-Wooi yang merupakan pemenang gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah.

Turut tersenarai tiga beregu profesional iaitu satu wakil dalam beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan dua pasangan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

Selain badminton, atlet sukan lain yang tersenarai ialah jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan rakan sepasukannya Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta dua wakil sukan terjun iaitu Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.