Warga emas naik basikal maut dilanggar Mercedes-Benz

Seorang warga emas maut selepas basikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta di Kilometer 89, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang, pada Ahad.
Seorang warga emas maut selepas basikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta di Kilometer 89, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang, pada Ahad.
A
A
A

KLUANG - Seorang lelaki warga emas maut selepas basikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta di Kilometer 89, Jalan Batu Pahat-Mersing dekat sini pada Ahad.

Kemalangan pada jam 1.49 petang itu mengorbankan Lim Kim Seng yang berusia 73 tahun dan beralamat di Kahang di sini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan tersebut melibatkan basikal ditunggang mangsa dengan sebuah kereta jenis Mercedes-Benz.

"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta berkenaan dari arah Kluang menghala ke Mersing telah melanggar basikal ditunggang mangsa yang keluar dari simpang Jalan Parang dan melawan arus untuk melintas jalan utama.

"Akibatnya penunggang basikal berkenaan dirempuh dan cedera parah di kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pemandu kereta tersebut, Tee Yong Khong, 58, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.