Tujuh kertas siasatan dibuka libat isu 3R

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak tujuh kertas siasatan dibuka melibatkan isu 3R iaitu ruler (pemerintah), religion (agama) dan race (bangsa) bagi tempoh 27 Mac sehingga 6 April.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, daripada jumlah tersebut, empat kes berkaitan penghinaan terhadap institusi diraja, dua kes melibatkan penghinaan agama serta satu kes membabitkan elemen perkauman.

Setakat ini kata beliau, dua individu ditahan membabitkan kes penghinaan terhadap institusi diraja dan perkauman, manakala seorang suspek dalam proses dikesan pihak PDRM.

"Daripada tujuh kertas siasatan dibuka, tiga telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara.

"Perkara itu selari dengan peruntukan Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan, manakala empat kes lagi masih dalam siasatan pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT)," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya memuat naik gambar, video sensitif dan seumpamanya yang melangkaui aspek 3R.

Jelas beliau, perkara seumpama itu boleh menjurus kepada fitnah dan menyakiti hati seseorang sehingga boleh mengundang kepada kemarahan masyarakat serta menimbulkan kekacauan.

Katanya, pengguna disaran menggunakan media sosial dengan bijak terutama yang menyentuh isu 3R bagi menjamin keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum serta agama terus terpelihara.

Tegasnya, sebarang bentuk penularan berita palsu, berkecenderungan menghasut atau berbaur ugutan yang boleh menyebabkan kegentaran awam melalui platform media sosial akan diambil tindakan undang-undang.

"Mereka boleh disabit kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 serta kesalahan yang termaktub di bawah Kanun Keseksaan," katanya.

Pada 22 Mac, PDRM telah menubuhkan Task Force siasatan melibatkan isu-isu 3R.

Task Force tersebut diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan berperanan menyiasat kes-kes melibatkan penghinaan terhadap agama, kaum serta institusi diraja.

Siasatan kes akan dikendalikan oleh USJT Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Objektif Task Force tersebut adalah memastikan siasatan dijalankan dengan kadar segera dan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara dalam tempoh tujuh hari.