FAM pandang serius kemelut Kelantan FC

Hamidin menjawab soalan pemberita ketika Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih FAM 2023 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Jumaat. - Foto FB FAM
Hamidin menjawab soalan pemberita ketika Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih FAM 2023 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Jumaat. - Foto FB FAM
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memandang serius masalah dalaman Kelantan FC yang melibatkan pengendalinya dari Korea Selatan, Choi Moon-sik dan pihak pengurusan kelab itu.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau telah meminta Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung dengan Kelantan FC bagi mendapatkan penjelasan sebenar mengenai perkara itu.

“Saya tidak mahu masuk campur (tangan) tetapi saya sudah maklum kepada mereka (MFL) bagi mendapatkan penjelasan daripada Kelantan. Saya tidak mahu tengok dari sudut sosial media, takut ada fakta yang salah.

“Jadi kita akan ambil tindakan susulan selepas mendapat penjelasan itu. Tetapi sebagai pengendali Liga Malaysia (Liga-M), MFL akan ambil tindakan terlebih dahulu," katanya.

Hamidin berkata demikian kepada pemberita ketika Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih FAM 2023 di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor pada Jumaat.

Pada Selasa, Kelantan FC membuat keputusan mengejut apabila merehatkan Moon-sik dan melantik penolong ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya sebagai pengendali sementara.

Keputusan itu dibuat kira-kira satu jam sebelum aksi Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Terengganu.

Susulan itu, ejen Moon-sik, Myeongho Jeong membuat beberapa dakwaan terhadap pihak pengurusan Kelantan FC di laman media sosial dan sedia membawa perkara tersebut ke pengetahuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman kemudiannya tampil mempertahankan keputusan yang dibuat itu apabila turut mendedahkan kekalahan berterusan The Red Warriors menjadi antara punca Moon-sik direhatkan.