19 pendatang asing ditahan, guna surat UNHCR meragukan

Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut. - Foto ihsan Maritim Malaysia
Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut. - Foto ihsan Maritim Malaysia
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 19 individu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar dan Bangladesh ditahan ketika pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah feri penumpang di kedudukan 3.1 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah pada pagi Jumaat.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 13 lelaki dan enam wanita menaiki feri penumpang dari Pulau Langkawi menuju ke Kuala Kedah tanpa membawa dokumen pengenalan diri yang sah.

Menurutnya, ketika pemeriksaan feri pada jam 10.16 pagi itu, anggota penguat kuasa mendapati mereka hanya memiliki salinan surat permohonan United Nations High Commission for Refugees (UNHCR) yang meragukan memandangkan permohonan kad terbabit telah dihentikan.

“Bot ronda milik Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah sebelum menerima maklumat risikan dan menahan feri berkenaan.

“Dalam pemeriksaan itu, 16 warganegara Myanmar hanya memiliki salinan surat permohonan UNHCR yang meragukan memandangkan permohonan pemilikan kad terbabit telah dihentikan, manakala tiga lagi warganegara Bangladesh tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Sabtu.

Noor Azreyanti berkata, kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.

“Kesemua PATI terbabit telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, dan sebatan tidak lebih dari enam kali, jika disabit kesalahan,” ujarnya.

Noor Azreyanti turut meminta orang ramai melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.