Kelantan United rehatkan Trucha

Bahang 'panas' saingan Liga Malaysia (Liga M) semakin dirasai apabila Kelantan United merehatkan sementara pengendali pasukan itu Tomas Trucha.
Bahang 'panas' saingan Liga Malaysia (Liga M) semakin dirasai apabila Kelantan United merehatkan sementara pengendali pasukan itu Tomas Trucha.
A
A
A

KOTA BHARU - Bahang 'panas' saingan Liga Malaysia (Liga M) semakin dirasai apabila Kelantan United merehatkan sementara pengendali pasukan, Tomas Trucha.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Operasi Kelantan United, Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Wan Zul Ikman berkata, pengendali kelahiran Republik Chez direhatkan sementara sehingga tamat aksi Liga Super dalam bulan Ramadan.

"Sepanjang ketiadaan Trucha tugas itu akan dipangku oleh penolong jurulatih iaitu Nazrulerwan Makmor dan Tengku Hazman Raja Hassan," ujarnya.

Menurut beliau, pihak pengurusan sedang meneliti untuk penstrukturan semula kelab dan tidak menolak kemungkinan Trucha diberikan peranan selaku Pengarah Teknikal KUFC selepas ini.

Ujarnya, tindakan merehatkan Trucha dilalukan susulan aksi kurang memuaskan yang diperagakan oleh Kelantan United ketika ini.

Wan Zul Ikman memberitahu, prestasi itu amat mengecewakan pihak pengurusan pasukan yang mengharapkan Kelantan United mampu memberikan saingan dalam Liga Super musim ini.

"Satu mata dalam enam perlawanan cukup mengecewakan.

"Oleh itu, kita turut meminta pemain supaya meningkatkan prestasi masing-masing termasuklah tonggak import," katanya.

Trucha merupakan jurulatih kedua dalam saingan Liga Super yang direhatkan selepas Choi Moon-sik dari Kelantan FC.

Selepas mengharungi enam perlawan, Kelantan United sekadar meraih satu mata sekali gus menduduki tangga tercorot Liga Super.