15 atlet sandaran emas sulung Olimpik

Hannah ketika sidang akhbar pengumuman senarai atlet RTG di Menara KBS, Putrajaya pada Jumaat. - Foto Bernama
Hannah ketika sidang akhbar pengumuman senarai atlet RTG di Menara KBS, Putrajaya pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SERAMAI 15 atlet daripada tiga acara sukan - berbasikal, badminton dan akuatik (terjun) disenaraikan dalam projek Road to Gold (RTG) menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Seperti dijangka, badminton mendominasi barisan atlet RTG apabila seramai 11 pemain dipilih, manakala dua pelumba berbasikal trek dan dua penerjun wanita turut berada dalam senarai.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, dua kriteria utama menjadi keutamaan dalam pemilihan kesemua atlet berkenaan yang dianggap berpotensi menyumbang emas sulung Olimpik.

Namun, Hannah tidak menolak kemungkinan bilangan atlet sedia ada akan berubah berdasarkan prestasi semasa atlet lain apabila kejohanan kelayakan ke Olimpik Paris 2024 bermula nanti

“Dua kriteria pemilihan (atlet RTG) iaitu satu (atlet) pemenang pingat pada temasya Olimpik Tokyo 2020 dan kedua, tersenarai dalam ranking top 10 di dunia.

“Kita juga ada kriteria tambahan yang mana atlet podium sedia ada yang menunjukkan peningkatan yang sangat-sangat baik, yang itu wajar dipertimbangkan case by case untuk masukkan atlet itu dalam projek RTG.

“Senarai ini dijangka berubah apabila kejohanan kelayakan ke Paris bermula dan ia tertakluk kepada persetujuan RTG dan reviu serta pemantauan berkala.

“Setiap permainan (kejohanan) ada tempoh kelayakan yang berbeza, jadi sebab itu kita kena tengok sukan berkenaan," katanya dalam sidang akhbar pengumuman senarai atlet RTG di Putrajaya pada Jumaat.

Pada masa sama, Hannah berkata, anggaran perbelanjaan RTG hanya boleh ditentukan selepas pertemuan bersama semua atlet terlibat dan dipersetujui oleh jawatankuasa projek.

“Kenapa kita tidak boleh beritahu sekarang adalah kerana kita kena kira kos perbelanjaan terlebih dahulu untuk keperluan atlet. Sebagai contoh, atlet itu minta sokongan dari segi jurulatih atau rawatan kecederaan.

“Penyelaras RTG (Stuart Ramalingam) dan tiga ahli jawatankuasa, Datuk Nicol David, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Mimawan Nawawi akan memulakan pertemuan bersama atlet RTG dan jurulatih dalam masa sebulan.

"Mereka akan mendengar keperluan top-up yang diperlukan oleh mereka dan mendapatkan persetujuan serta komitmen mereka untuk mengikuti projek RTG ini," jelasnya.

SENARAI ATLET PROJEK RTG

1. Datuk Azizulhasni Awang (berbasikal)

2. Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal)

3. Lee Zii Jia (Badminton)

4. Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton)

5. Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (badminton)

6. Pearly Tan-M Thinaah (badminton)

7. Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (badminton)

8. Goh Soon Huat- Shevon Lai (badminton)

9. Datuk Pandelela Rinong Akuatik (terjun)

10. Nur Dhabitah Sabro Akuatik (terjun)