Kontraktor mengaku tidak bersalah tipu jual kereta

Tertuduh (dua dari kanan) diiringi anggota polis sebaik tiba di pekarangan mahkamah pada Jumaat.
Tertuduh (dua dari kanan) diiringi anggota polis sebaik tiba di pekarangan mahkamah pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki sehingga mangsa mengalami kerugian RM4,480 berhubung penjualan kereta, tahun lalu.

Tertuduh Abdul Wafi Mohamad, 34, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menipu seorang lelaki dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tertuduh menjual sebuah kereta jenis Proton Wira.

Oleh itu, tertuduh dengan curangnya mendorong lelaki berkenaan menyerahkan harta iaitu wang berjumlah RM4,480 dimasukan ke dalam akaun bank milik isteri tertuduh.

Kesalahan tersebut dilakukan di kedai besi buruk Labu, Nilai pada 26 September 2022 sehingga 24 Oktober 2022.

Dengan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan juga denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendawa Raya, Nik Nur'Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala tertuduh di wakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ardelliza Izmaryanti Shafie.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes untuk serahan dokumen pada 11 Mei ini.