Padah pindah minyak tanpa kebenaran

Kapal tangki dan 'tug boat' yang ditahan kerana melakukan pemindahan minyak STS tanpa kebenaran.
Kapal tangki dan 'tug boat' yang ditahan kerana melakukan pemindahan minyak STS tanpa kebenaran.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebuah kapal tangki serta 'tug boat' ditahan kerana gagal memaklumkan Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan aktiviti pemindahan minyak Ship to Ship (STS).

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kapal dan bot tersebut ditahan pada jam 2.10 petang Khamis.

Menurutnya, bot Maritim Malaysia mengesan sebuah kapal tangki MT Mekar Jaya dan sebuah 'tug boat' YKP Karishma merapat antara satu sama lain dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika melaksanakan rondaan rutin Op Pertiwi di 0.16 batu nautika timur perairan Persiaran Karpal Singh, kita mendapati kapal dan bot tersebut merapat antara satu sama lain menyebabkan pemeriksaan dijalankan.

"Hasil pemeriksaan, kapal tangki MT Mekar Jaya yang berbendera Malaysia dikendalikan lapan kru termasuk nakhoda iaitu tujuh warga Indonesia dan seorang warga tempatan. Kesemua mereka berusia lingkungan 26 hingga 46 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pemeriksaan pada 'tug boat' YKP Karishma yang berbendera Thailand pula mendapati, ia dikendalikan enam kru termasuk nakhoda iaitu empat warga Indonesia dan dua warga Thailand berusia lingkungan 35 hingga 51 tahun.

"Kesemua kru kapal tangki dan 'tug boat' memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Mereka disyaki telah melakukan kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal memaklumkan Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan aktiviti pemindahan minyak STS," jelasnya lagi.

Menurut Abd Razak, nakhoda, ketua jurutera kapal serta 'tug boat' termasuk dokumen berkaitan telah dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan sebarang aktiviti haram dan akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

"Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera," katanya.