Tugu peringatan simbol memperingati nahas Double Six

Bangkai pesawat GAF Nomad pada 6 Jun 1976 di Kota Kinabalu, Sabah. - Foto The Golden Son of The Kadazan/ Bernard Sta Maria
Bangkai pesawat GAF Nomad pada 6 Jun 1976 di Kota Kinabalu, Sabah. - Foto The Golden Son of The Kadazan/ Bernard Sta Maria
A
A
A

KOTA KINABALU - Keputusan kerajaan Persekutuan pada Rabu untuk menurun taraf dan menyahklasifikasi laporan siasatan akhir berhubung insiden Double Six yang berlaku 47 tahun lalu membawa Sinar Harian ke Tugu Peringatan Double Six yang terletak di Sembulan.

Tugu itu dibina pada 1977 iaitu setahun selepas nahas pesawat yang mengorbankan 11 individu termasuk Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Mohd Fuad Stephens pada 6 Jun 1976.

Tragedi itu telah menggemparkan penduduk di sekitar Kota Kinabalu apabila dikejutkan dengan satu bunyi dentuman kuat kira-kira jam 3.50 petang akibat daripada sebuah kapal jenis GAT Nomad yang terhempas di Sembulan.

Kejadian ini juga dikenali sebagai Tragedi Double Six kerana tarikhnya berlaku pada 6 Jun di mana pesawat yang dikendalikan Sabah Air bertolak dari Labuan ke Kota Kinabalu terhempas ketika melalui Sembulan.

Pesawat itu membawa hampir kesemua ahli kabinet Sabah yang ketika itu daripada kerajaan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) termasuklah Tun Mohd Fuad sendiri bersama rombongan.

Antara yang turut terkorban ketika itu ialah Menteri Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Peter Mojuntin; Menteri Perhubungan dan Kerja Raya, Datuk Chong Tahin Vun; Menteri Kewangan Negeri, Datuk Salleh Sulong dan Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri, Darius Binion.

Tugu Peringatan Double Six yang terletak di Sembulan dijadikan
Tugu Peringatan Double Six yang terletak di Sembulan dijadikan

Selain itu, turut terkorban juga ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Wahid Peter Andau; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah, Dr Syed Hussein Wafa; Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Razaleigh Hamzah, Ishak Atan; Pengawal peribadi kepada Tun Fuad, Koperal Said Mohammad; juruterbang, Gandhi J Nathan dan anak Tun fuad sendiri, Johari Stephens.

Dalam kejadian itu, Tengku Razaleigh sepatutnya turut menaiki pesawat yang sama, namun pada saat akhir beliau tidak menaiki pesawat itu kerana diajak untuk merasmikan projek ladang lembu di Pulau Banggi, Kudat.

Sejurus pesawat yang mereka naiki itu menjunam di kawasan air yang cetek, lokasi ini telah menjadi tumpuan orang ramai kerana ketika terhempas, pesawat tersebut dikatakan telah menggegarkan hampir keseluruhan kawasan tersebut.

Punca di sebalik kemalangan sehingga kini masih belum diketahui dan timbul pelbagai spekulasi antaranya dakwaan ia adalah daripada perbuatan khianat berikutan keadaan politik yang tidak menentu pada ketika itu.

Selain itu, terdapat juga spekulasi yang menganggap kegagalan teknikal dan lebih muatan merupakan faktor utama yang menyebabkan kemalangan itu berlaku.

Senarai nama korban nahas.
Senarai nama korban nahas.

Susulan daripada keputusan kabinet persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu menyatakan bahawa laporan akhir itu akan diketahui pada minggu hadapan.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan keputusan kerajaan persekutuan itu sebagai satu kelegaan kerana ia membongkar apa yang sebenarnya berlaku pada hari itu.

Malah ia juga sebagai kelegaan bukan sahaja kepada keluarga mereka yang terkorban tetapi juga kepada rakyat Sabah.