Cubaan seludup PATI terbongkar, 19 ditahan

Seramai 19 individu termasuk 16 PATI diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berhampiran Pantai Klanang, Banting di sini pada Khamis. - Foto Maritim Malaysia
Seramai 19 individu termasuk 16 PATI diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berhampiran Pantai Klanang, Banting di sini pada Khamis. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

KUALA LANGAT - Seramai 19 individu termasuk 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) berhampiran Pantai Klanang, Banting di sini pada Khamis.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, terdapat sebuah bot dalam keadaan mencurigakan semasa pihaknya menjalankan rondaan kira-kira jam 2.30 pagi.

"Bot Ronda Maritim Malaysia kemudiannya diatur gerak sebelum memintas bot tersebut, namun ia cuba lolos dari kepungan sebelum terkandas dan hampir karam.

"Hasil siasatan awal mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong dan dua kru warga Indonesia berumur 48 dan 60 tahun tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah dipercayai dari Tanjung Balai, Indonesia," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat 16 individu termasuk lima wanita berumur lingkungan 26 hingga 53 tahun berada dalam bot tersebut.

"Pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah berada di geladak tengah bot yang hampir tenggelam ketika ditahan manakala bot yang bocor tidak dapat diselamatkan dan tenggelam di lokasi tangkapan.

"Menurut salah seorang PATI, mereka perlu membayar RM1,500 seorang untuk menyeludup masuk dengan cara ini," katanya.

Menurut Mohammad Rosli, kesemua yang ditahan dipindahkan ke bot ronda Maritim Malaysia sebelum dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1953/63 kerana masuk dan keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007) kerana membawa masuk atau keluar PATI.