WUIF sasar satu bilion tanda pagar #QuranHour

Datuk Hussamuddin Yaacob, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas serta Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Sdn. Bhd. berucap ketika Majlis Rangkaian Eksekutif World #QuranHour di Dewan Karangkraf, Media Karangkraf,Shah Alam. - Foto: SINAR HARIAN/ZAHID IZZANI
Datuk Hussamuddin Yaacob, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas serta Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Sdn. Bhd. berucap ketika Majlis Rangkaian Eksekutif World #QuranHour di Dewan Karangkraf, Media Karangkraf,Shah Alam. - Foto: SINAR HARIAN/ZAHID IZZANI
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) melalui penganjuran World #QuranHour, menyasarkan satu bilion tanda pagar #QuranHour dari seluruh dunia pada acara terbesar yang bakal berlangsung pada 30 Mei ini di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, World #QuranHour yang memasuki tahun keempat penganjurannya mahu mencapai sasaran tersebut hasil sinergi bersama rakan media lain.

“Tahun lalu, World #QuranHour berjaya mengumpulkan lebih 646 juta #QuranHour dari seluruh dunia yang melibatkan 60 negara dan 214 hotspot.

“Tahun ini dengan sinergi media daripada pelbagai organisasi diharap dapat lebih mempromosikan World #QuranHour ini kepada seluruh umat Islam, baik di dalam negara dan luar negara,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Taklimat Sinergi Media Malaysia sempena World #QuranHour 1440H/2019 di Karangkraf di sini.

Pada majlis tersebut, lebih 12 organisasi media cetak dan elektronik yang hadir menyatakan komitmen mereka untuk bersinergi bagi mempromosikan program tersebut sebagai satu momentum kempen menggalakkan lagi umat Islam mendekati al-Quran termasuk baca, faham dan amal.

Selain Sinar Harian, organisasi media lain yang turut terlibat adalah Utusan Malaysia, Kosmo!, Bernama, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Astro Awani, Astro Naura, Berita Harian, Kumpulan Media Prima dan TV AlHijrah manakala WUIF pula adalah sebagai sekretariat kempen.

Gambar bersama ahli Eksekutif dalam Majlis Rangkaian Eksekutif World #QuranHour di Dewan Karangkraf, Media Karangkraf,Shah Alam. - Foto: SINAR HARIAN/ZAHID IZZANI
Gambar bersama ahli Eksekutif dalam Majlis Rangkaian Eksekutif World #QuranHour di Dewan Karangkraf, Media Karangkraf,Shah Alam. - Foto: SINAR HARIAN/ZAHID IZZANI

World #QuranHour yang bertemakan Misi al-Kahfi Solusi Cabaran Sejagat adalah kempen membentuk landasan solidariti ummah seluruh dunia di bawah naungan al-Quran dengan mengambil semangat dan keberkatan 10 hari terakhir Ramadan.

Artikel Berkaitan:

Hussamuddin yang juga Pengasas WUIF berkata, ia juga adalah usaha membentuk komitmen untuk melakukan transformasi diri ke arah lebih baik.

“Kenapa surah al-Kahfi dipilih? Ia berkait dengan diri kita dan seluruh dunia, termasuk orang bisnes yang sedang menghadapi cabaran belum pernah dihadapi sebelum ini iaitu gelombang digital, maka ini adalah ujian yang ALLAH SWT berikan agar kita kembali kepada al-Quran yang terbukti menjadi solusi kepada segala permasalahan.

“Objektif kita (media terlibat) sama iaitu untuk menyelamatkan bangsa. Kita nak mengqurankan bangsa dan menambah keimanan ummah,” katanya.

Mengulas mengenai promosi yang sepatutnya dilakukan organisasi media yang bersinergi untuk World #QuranHour, Hussamuddin berkata, media boleh berperanan memasukkan bahan kempen yang digerakkan di media masing-masing sama ada dalam program televisyen, radio atau diselitkan di dalam berita masing-masing.

“Asalkan objektifnya mahu mengimarahkan lagi majlis pada 30 Mei ini dan turut mengajak semua orang berinteraksi dengan al-Quran walau di mana berada.

"Selain media perlu meneruskan solidariti kempen termasuk #MyQuranHour sepanjang tahun dan mempromosikan Sahabah al-Quran di seluruh dunia,” katanya.