Lelaki diberkas hina institusi beraja

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap institusi beraja di Malaysia menerusi akaun Facebook.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, lelaki berusia 49 tahun itu ditahan di Pendang, Kedah pada Rabu.

"Permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 kanun Tatacara Jenayah bermula hari ini (Khamis) hingga Ahad," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Noorsiah berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara terutama yang melibatkan isu 3R iaitu raja (royalty) agama (religion) dan kaum (race).

"Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam," katanya.