Empat nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara

Sebuah bot yang berpangkalan di Pantai Labu, Deli Serdang Sumatera Utara, Indonesia ditahan pada pagi Rabu.
Sebuah bot yang berpangkalan di Pantai Labu, Deli Serdang Sumatera Utara, Indonesia ditahan pada pagi Rabu.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebuah bot yang berpangkalan di Pantai Labu, Deli Serdang Sumatera Utara, Indonesia ditahan selepas didapati melakukan kesalahan di perairan negara pada jam 10.13 pagi Rabu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, susulan penahanan tersebut, empat nelayan Indonesia yang berada di dalam bot berkenaan turut diperiksa.

Menurutnya, bot nelayan asing itu ditahan sepasukan anggota Maritim Malaysia Pulau Pinang di kedudukan 27 batu nautika barat daya Pulau Kendi ketika menjalankan Op Tanjung.

Empat nelayan Indonesia turut ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Empat nelayan Indonesia turut ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

"Bot tersebut dikendalikan empat nelayan Indonesia yang berusia lingkungan 17 hingga 33 tahun dan kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

"Keempat-empat nelayan asing itu didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau menambah, bot serta peralatan menangkap ikan telah disita manakala keempat-empat nelayan tersebut ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kesemua yang ditahan dan disita dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

"Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia," kata beliau.

Abd Razak berkata, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian O4-2626146 atau MERS 999 sekiranya mempunyai aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut.