Guru berundur awal, apa alasan mereka?

Lebih 10,000 guru membuat pilihan bersara awal setiap tahun dan ia jauh melebihi statistik KPM sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru bermula Januari 2021. - Gambar hiasan
Lebih 10,000 guru membuat pilihan bersara awal setiap tahun dan ia jauh melebihi statistik KPM sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru bermula Januari 2021. - Gambar hiasan
A
A
A

ISU guru bersara awal kembali hangat diperkatakan pada minggu ini apabila Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendedahkan terdapat peningkatan dalam trend itu terutama mereka dalam lingkungan 56 hingga 58 tahun.

Kata NUTP, lebih 10,000 guru membuat pilihan bersara awal setiap tahun dan ia jauh melebihi statistik Kementerian Pendidikan (KPM) iaitu sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru bermula Januari 2021.

Bagi penulis, isu guru berundur awal sememangnya satu kejutan besar yang tidak dijangkakan. Jika ia berterusan dari semasa ke semasa, bagaimana nasib anak-anak didik di Malaysia? Siapa yang akan mengajar mereka di sekolah? Bagaimana pelajar mahu menimba ilmu pengetahuan jika tiada tenaga pengajar?

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan, punca-punca guru bersara awal terlalu banyak. Antara yang paling utama adalah beban tugas melampau dan sistem pendidikan negara.

Tambah tertekan, kerja-kerja pengkeranian yang perlu dilakukan sepanjang masa, menghadap sistem mengunci masuk rekod kehadiran murid dan tugasan mengendalikan sukan, olahraga, kelab serta badan beruniform juga menjadi penyebab guru memilih untuk menamatkan perkhidmatan lebih awal.

Seperkara lagi, kemajuan teknologi hari ini yang memerlukan tugasan direkodkan dalam sistem berbanding manual sebelum ini menambahkan lagi stres cikgu. Ini kerana masih ramai guru yang kurang cekap menggunakan teknologi maklumat (IT). Situasi ini sudah tentu memberikan tekanan kepadanya dan tidak mustahil, langkah terakhir dilakukan adalah berundur.

Berhubung kes bersara awal, netizen tidak terkecuali memberi pandangan mereka mengenai perkara tersebut, antaranya:

“Kurangkan beban kerja guru dan beri tugasan mengajar sahaja.

“Biarlah depa nak bersara awal, memang layak pun. Eloklah diganti dengan guru baharu yang mahir dalam serba-serbi.

“Yang ramai bersara itu bukan muda-muda, kebanyakannya berusia 55 tahun dan sudah bertugas 30 tahun lebih. Jadi, eloklah bagi peluang kepada guru muda.

“Sekarang tak kira dalam perkhidmatan apa pun dah ramai bersara awal disebabkan tekanan kerja dari pihak atasan.

“Bukan senang nak jadi cikgu zaman sekarang. Jiwa nak kena keras. Moga anda dipermudahkan segala urusan.”

Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom turut berkongsi beberapa sebab utama mengapa guru memilih untuk bersara awal.

“Memang sejak dahulu lagi ada guru yang mengambil keputusan untuk bersara. Biasanya kerana mereka mempunyai masalah kesihatan yang menyebabkan tidak dapat bekerja.

“Selain itu, hubungan jarak jauh antara suami dan isteri turut menjadi punca. Malah, guru yang mendapat peluang lain seperti perniagaan atau menerima tawaran kerja dengan gaji lebih lumayan juga penyebab mereka pergi,” ujarnya seperti dipetik menerusi portal tempatan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi satu kenyataan bagaimanapun berkata, pihaknya mengambil maklum isu tersebut dan sedang mengambil langkah menyelesaikannya.

“Setakat ini, KPM menyediakan beberapa langkah dalam menangani hal tersebut termasuklah berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan dalam memastikan tempat cikgu-cikgu ini segera diganti,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Fadhlina memberitahu, guru berundur awal disebabkan banyak faktor dan situasi tersebut bukan semata-mata dipengaruhi sebab negatif.

“Antaranya, faktor keluarga dan kewangan guru yang sudah stabil menjadi sebab mereka bersara awal,” ujarnya ketika menghadiri majlis iftar bersama warga pendidikan di Institut Pendidikan Guru Perlis pada Ahad.

Dalam isu ini, penulis menghormati keputusan yang dibuat guru-guru berkenaan. Orang luar yang tidak berada dalam ‘kasut’ mereka tidak wajar menuduh yang bukan-bukan kepada cikgu yang mahu bersara awal.

Kepada cikgu-cikgu yang masih berkhidmat dalam dunia pendidikan, penulis tabik pada kalian. Sekiranya ada masalah, tidak perlulah bersara awal, sebaliknya carilah solusi.

Jika masih tertekan, berjumpalah dengan unit kaunseling. Hanya mereka yang boleh beri bantuan atau berbincang mengenai kaedah tertentu untuk guru mengurangkan tekanan.

Kepada cikgu, teruskanlah mencurah khidmat bakti dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dan gemilang dalam bidang masing-masing.

* Roshlawaty Raieh ialah wartawan Sinar Bestari