Pemandu lori bawa mentega maut digilis

Seorang pemandu lori yang membawa muatan mentega maut digilis selepas tercampak apabila kenderaan yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori balak berdekatan Sekolah Meratu-Jalan Lama Gua Musang pada Rabu. - Foto JBPM
Seorang pemandu lori yang membawa muatan mentega maut digilis selepas tercampak apabila kenderaan yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori balak berdekatan Sekolah Meratu-Jalan Lama Gua Musang pada Rabu. - Foto JBPM
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang pemandu lori yang membawa muatan mentega maut digilis selepas tercampak apabila kenderaan yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori balak berdekatan Sekolah Meratu-Jalan Lama Gua Musang di sini pada Rabu.

Kejadian kira-kira jam 11.58 pagi itu menyebabkan mangsa, Abdul Yasak Mat, 40, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo bagaimanapun berkata, pemandu lori balak berkenaan Subramaniam Narayanasamy, 51, hanya mengalami kecederaan pada kaki selepas tersepit.

"Kemalangan berlalu ketika Abdul Yasak yang dalam perjalanan dari arah Gua Musang menghala ke Jeli.

"Setiba di lokasi kejadian, jalan yang mempunyai sedikit selekoh dipercayai menyebabkan lori dipandu mangsa telah masuk ke laluan bertentangan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kedua-dua lori tersebut bertembung.

Ujarnya, akibat dari pertembungan itu, Abdul Yasak maut di tempat kejadian manakala Subramaniam mengalami kecederaan di kaki.

Pemandu lori balak berkenaan mengalami kecederaan pada kaki akibat tersepit. - Foto JBPM
Pemandu lori balak berkenaan mengalami kecederaan pada kaki akibat tersepit. - Foto JBPM

Choon Foo memberitahu, pemandu lori mentega itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasatan sebelum diserahkan kepada keluarga.

"Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

"Bagaimanpun siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian bolehlah menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Gua Musang di talian 09-9121222 atau 017-2830392," katanya