Beberapa kesan hentakan pada wajah mangsa

Baharudin (Laporan Sinar Harian pada Rabu)
Baharudin (Laporan Sinar Harian pada Rabu)
A
A
A

DUNGUN – Beberapa kesan hentakan dikesan pada wanita yang maut dipercayai dipukul dengan tukul besi oleh suaminya di Kampung Besol, Bukit Besi, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kesan itu ditemui hasil pemeriksaan fizikal awal terhadap mangsa, Rubiah Sabtu, 41, yang meninggal dunia di ruang tamu rumah berkenaan.

“Mangsa didapati mengalami kecederaan kesan luka hentakan pada bahagian dahi, mata, hidung, mulut dan satu hentakan di bahagian telinga belah kanan.

“Kesan hentakan kecederaan yang dialami oleh mangsa dipercayai daripada penggunaan tukul,” katanya di sini pada Rabu.

Baharudin berkata, sebuah tukul dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu turut ditemui di sebelah mangsa yang bekerja sebagai peniaga runcit.

Beliau berkata, mangsa mempunyai enam anak hasil perkahwinan sebelum ini dan telah berkahwin dengan suspek kira-kira setahun yang lalu serta dikurniakan seorang anak perempuan.

Katanya, ketika kejadian tiada sesiapa berada di rumah selain anak perempuan mangsa yang berusia tiga bulan.

“Punca kejadian adalah disebabkan selisih faham namun kita masih menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan parah di bahagian muka.

Difahamkan, berlaku perselisihan faham di antara mereka yang menyebabkan suspek berusia lingkungan 30-an tiba-tiba bertindak di luar kawalan.

Susulan itu, polis telah menahan suami mangsa yang disyaki melakukan perbuatan itu.